Tak lengkap suasana raya tanpa lagu-lagu raya yang membangkitkan semangat perayaan. Sejak dulu lagi, memang tidak sah kalau tak ada lagu raya berkumandang di radio, TV, dan media sosial.
Sama ada lagu lama yang terus malar segar atau lagu baharu yang mencuri perhatian, setiap tahun pasti ada beberapa lagu yang menjadi siulan ramai.
Tahun 2025 tidak terkecuali, banyak lagu raya baru muncul, ada yang mendapat sambutan luar biasa, ada yang viral di media sosial, dan ada yang terus dimainkan tanpa henti di radio. Malah ada juga yang terus mengungguli carta strim di Spotify dan Apple Music sebaik saja diluncurkan.
Jadi, lagu mana yang paling trending tahun ini? Jom kita tengok 10 lagu raya bakal meletup 2025!
1. Meriah Lain Macam – Nadeera dan Hael Husaini
Seperti tajuknya, lagu ini memang meriah lain macam! Hael Husaini dan Nadeera berjaya menghasilkan lagu yang betul-betul menangkap semangat Aidilfitri yang ceria, penuh kasih sayang dan menggambarkan kegembiraan berkumpul bersama keluarga. Lagu ini memang menjadi pilihan utama untuk dimainkan di rumah terbuka atau semasa perjalanan pulang ke kampung. Video muzik rasmi “Meriah Lain Macam” oleh Hael Husaini dan Nadeera kini telah melebihi 1.65 juta tontonan di YouTube dan terus mendapat perhatian ramai.
2. Raya Pum Pang – Syasya Dolla & Fazura
“Raya Pum Pang” membawa vibe yang ceria, menggabungkan rentak pop moden dengan elemen tradisional. Dengan suara bertenaga dari Syasya Dolla dan Fazura, lagu ini memang menjadi kegemaran untuk pesta raya, malah siap ada tarian khas yang viral di TikTok! Video muzik rasmi “Raya Pum Pang” oleh Syasya Dolla & Fazura telah meraih 792,817 tontonan di YouTube, mencuri perhatian ramai penonton. Jumlah tontonan terus meningkat, membuktikan lagu ini semakin digemari!
3. Raya Nak Ke Mana? – Siti Nurhaliza
Lagu ini mendapat sambutan luar biasa kerana melodi yang catchy dan lirik yang santai tetapi penuh bermakna. Sekali lagi Siti Nurhaliza membuktikan kehebatannya dengan lagu yang sesuai didengari untuk semua peringkat umur. “Raya Nak Ke Mana?” bukan sahaja trending di media sosial, malah menjadi lagu wajib dalam playlist raya tahun ini! Video muzik rasmi “Raya Nak Ke Mana?” oleh Siti Nurhaliza telah meraih lebih 608,452 tontonan di YouTube dan terus mendapat sambutan.
4. Raya Serumpun – Mimi Fly
Lagu ni bukan sekadar lagu raya biasa, ia ada soul, energy, dan vibe perpaduan yang buat kita rasa lebih serasi sebagai satu keluarga besar, tak kira latar belakang. Dengan kombinasi hip-hop, elemen tradisional, dan korus yang buat semua orang nak menyanyi dan berdansa. Video muzik rasmi “Raya Serumpun” oleh Mimi Fly telah meraih 311,517 tontonan di YouTube dalam masa hanya dua hari, mencetuskan kegembiraan di kalangan peminat dan terus mendapat sambutan hangat.
5. Hari Lebaran – Siti Nordiana
Lagu ini mengingatkan kita tentang kemeriahan berkumpul bersama keluarga, menikmati juadah tradisional, dan saling bermaafan. Suara merdu Siti Nordiana menambahkan lagi kesyahduan, menjadikannya lagu yang sesuai untuk dimainkan sepanjang musim perayaan. Video muzik rasmi “Hari Lebaran” oleh Siti Nordiana telah mendapat sebanyak 160,439 tontonan di Youtube.
6. Raya Telah Tiba – Wany Hasrita
Lagu ini betul-betul mencerminkan perasaan teruja bila Syawal menjelang. Dengan melodi yang mendayu-dayu dan vokal Wany Hasrita yang lemak manis, ia memang antara lagu yang banyak dimainkan di Spotify tahun ini. Setakat ini, video muzik rasmi “Raya Telah Tiba” oleh Wany Hasrita telah ditonton lebih 111,694 kali di YouTube dan terus menarik perhatian.
7. Tak Balik Raya – Umairah
Lagu yang sangat sesuai untuk mereka yang tak dapat balik kampung tahun ini. Dengan lirik yang mengisahkan perasaan sedih dan rindu terhadap keluarga, lagu dendangan dari Umairah berjaya menyampaikan emosi ini dengan begitu berkesan. Melodi yang mendayu dan lirik yang puitis membuatkan ramai yang tersentuh. Sesuai sangat dengan perantau yang tidak balik beraya di kampung halaman. Setakat ini, video muzik rasmi “Tak Balik Raya” oleh Umairah telah melebihi 102,000 tontonan di YouTube dan terus meningkat.
8. Jodoh Hari Raya – Dayang Nurfaizah
“Jodoh Hari Raya” bukan sekadar lagu tentang kegembiraan Syawal, tetapi juga membawa kisah tentang cinta yang terjalin di musim perayaan. Dengan vokal yang lunak Dayang Nurfaizah, lagu ini menjadi kegemaran ramai, ada yang menganggapnya sebagai lagu raya moden yang bakal menjadi malar segardi masa depan. Selain itu, video muzik rasmi “Jodoh Hari Raya” oleh Dayang Nurfaizah telah meraih lebih 61,526 tontonan di YouTube dan terus mendapat perhatian.
9. Ketipak Ketipung Raya (2025) – Aisha Retno & Aziz Harun
Ketipak Ketipung Raya versi 2025 ini adalah lagu yang diperbaharui dengan sentuhan klasikdari versi asal yang menjadi kegemaran pendengar pada tahun 2024. Tak hairanlah lagu ini semakin meningkat jumlah strim di Spotify! Lagu ini telah mendapat 17,807 jumlah tontonan di Youtube.
10. Hari Raya Raya Raya – Iman Fandi
“Hari Raya Raya Raya” oleh Iman Fandi memang jenis lagu yang sekali dengar terus melekat dalam kepala. Rentaknya moden, liriknya mudahtapi sarat dengan vibe raya yang fun dan bertenaga. Video muzik rasmi “Hari Raya Raya Raya” oleh Iman Fandi telah mendapat sebanyak 15,389 tontonan di Youtube. Lagu ini juga ada tarian khas di TikTok yang boleh anda ikuti dan follow the trend!
Satu perkara menarik tentang lagu raya tahun ini adalah gabungan elemen moden dan tradisional. Ada yang memilih rentak pop yang lebih segar, ada yang masih mengekalkan sentuhan klasik, dan ada juga yang menggabungkan kedua-duanya.
Jadi, dari 10 lagu ini, lagu mana yang paling anda suka? Atau ada lagu lain yang patut ada dalam senarai? Apa pun pilihan anda, selamat berhibur dengan lagu raya dan Selamat Hari Raya Aidilfitri!.
Nurul Aisyah Razali merupakan seorang penulis dari Fakulti Komunikasi dan Media di Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam.