KUALA LUMPUR, Malaysia, 11 September 2023 — Sebanyak 12 projek Malaysia telah merangkul Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2023 atas penggunaan tenaga lestari.
Penganugerahan AEA 2023 telah diadakan di Bali, Indonesia semasa berlangsungnya Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-41 (AMEM) yang baru sahaja selesai baru-baru ini.
AEA diadakan dengan tujuan untuk memberi galakan kepenggunaan tenaga lestari. Ia terdiri daripada tiga kategori utama iaitu Anugerah Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga, Anugerah Projek Tenaga Boleh Diperbaharui, dan Anugerah Arang Bersih.
Sebanyak 23 projek Malaysia yang pernah memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) telah dikemukakan untuk AEA 2023, di mana 12 daripadanya diiktiraf sebagai pemenang AEA dalam pelbagai kategori. Antara pemenang hadiah pertama AEA 2023 termasuk:
- Kategori Amalan Terbaik Kecekapan dan Konservasi Tenaga
- Anugerah Bangunan Hijau (kategori Besar): Tzu Chi International School
- Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan dan Industri (kategori Bangunan Kecil dan Sederhana): Bangunan Pihak Berkuasa Pelabuhan Johor
- Anugerah Arang Bersih
- Penggunaan Teknologi Arang Bersih (kategori Industri Besar): Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz Jimah East
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-41.
Nik Nazmi dipetik berkata “Saya berharap kejayaan peserta Malaysia dalam AEA akan menjadi inspirasi kepada pemain industri lain untuk mengamalkan amalan tenaga lestari, sambil menyumbang kepada komitmen negara dalam mencapai sasaran nyahkarbon.
“Sementara ASEAN meningkatkan usaha dalam perlumbaan ke arah pelepasan sifar bersih, kami menggesa lebih banyak industri, syarikat, dan individu untuk meneraju laluan untuk mengatasi masalah perubahan iklim melalui amalan penggunaan tenaga lestari.
“Di peringkat kebangsaan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim akan terus berusaha untuk menggalakkan penggunaan tenaga lestari yang terbaik, termasuk menganjurkan NEA untuk mengiktiraf dan meneroka peluang lebih lanjut untuk merangsang penggunaan amalan tenaga terbaik,” katanya.