KUALA LUMPUR, 8 Sept 2026 – Seramai 22 mahasiswa Universiti Malaya (UM) di bawah Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) menyertai Misi Kemanusiaan Antarabangsa Indonesia 3.0 (MKAI 3.0) di Pulau Tidung, Kepulauan Seribu, Jakarta, bagi memperkasakan komuniti setempat dan mengukuhkan hubungan serumpun.
Misi yang berlangsung dari 28 Julai hingga 2 Ogos lepas itu memberi tumpuan kepada lima modul utama iaitu keusahawanan digital, pelancongan holistik, pemuliharaan paya bakau, kesihatan awam serta sukaneka dan gastronomi warisan.
Pengarah MKAI 3.0 Muhammad Amirul Nasrul Edie, 22, berkata program itu memberi pendedahan secara langsung kepada sukarelawan mengenai jurang akses pendidikan dan teknologi digital yang dihadapi masyarakat setempat.
“Kami melihat sendiri perbezaan kemudahan antara masyarakat bandar dan luar bandar. Pengalaman ini menyemarakkan semangat kami untuk terus membantu memastikan tiada golongan yang tercicir, di samping memelihara kelestarian alam dan budaya tempatan,” katanya.
Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah latihan penggunaan aplikasi grafik dan media sosial untuk golongan remaja, bimbingan asas bahasa Inggeris di SMKN 61 dan SMPN 241 Jakarta serta penanaman pokok bakau di pesisir pantai Pulau Tidung Kecil bersama Pusat Budidaya dan Konservasi Laut (PBKL).
Program itu turut mengetengahkan gastronomi warisan menerusi penyediaan nasi lemak dan char kuetiau untuk kira-kira 100 penduduk tempatan.
Peserta Nur Iman Qistina Adzni, 20, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Mikrobiologi dan Genetik Molekul, menyifatkan misi itu sebagai pengalaman yang membuka mata dan meningkatkan kesedarannya terhadap kemudahan pendidikan serta teknologi yang dinikmati.
“Saya berharap aktiviti ini dapat membantu masyarakat Pulau Tidung membangunkan potensi ekonomi pelancongan mereka kerana kawasan ini mempunyai keindahan semula jadi dan komuniti yang sangat mesra,” katanya.
Sementara itu, Mohd Haziq Aqil Hass, 21, yang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Sosial, berkata penyertaannya memberikan pengalaman kesukarelawan rentas sempadan yang berbeza daripada aktiviti yang pernah disertainya di Sarawak.
“Walaupun terdapat perbezaan bahasa dan budaya, ia bukan penghalang untuk kami saling memahami dan bekerjasama,” katanya.
Bagi Iman Balkis Mohd Yaakob, 21, pengalaman menyertai MKAI 2.0 sebelum ini mendorongnya untuk kembali menyertai misi berkenaan.
“MKAI 3.0 merupakan pengalaman yang sangat bermakna. Saya bersyukur dapat menyertai misi ini sekali lagi bersama rakan-rakan yang sentiasa saling menyokong,” katanya. Misi yang mendapat sokongan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM itu turut memperkenalkan potensi pelancongan mampan di Pulau Tidung serta menjadi wadah pertukaran budaya menerusi Malam Kebudayaan yang menampilkan tarian tradisional kedua-dua negara.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































