KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Seramai 56 pelajar Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) menimba pengalaman berharga mendalami ilmu pertanian dan kebudayaan tempatan menerusi program mobiliti antarabangsa di Sumatera Utara, Indonesia yang berlangsung pada 2 hingga 6 Oktober lalu.
Program The 4th TALENTA-Agricultural Summer Course 2026 anjuran Fakultas Pertanian, Universitas Sumatera Utara (USU) bertemakan ‘Smart and Sustainable Agri-Food Systems: From Local Wisdom to Global Solutions’ itu diselaraskan di bawah Portfolio Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Sains UM.
Pensyarah pengiring dari Institut Sains Biologi UM, Prof Madya Dr Rosazlin Abdullah, berkata program berkenaan memberi ruang kepada pelajar untuk memperluas pengetahuan di luar bidang pengajian serta memahami aplikasinya dalam situasi sebenar.
“Melalui pengalaman seperti ini, pelajar dapat melihat hubungan antara ilmu yang dipelajari dengan keperluan industri dan masyarakat. Mereka juga berpeluang bertukar pandangan serta belajar daripada pengalaman rakan di negara lain,” katanya.
Beliau menambah penyertaan berkenaan diharap dapat membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi, serta mengukuhkan keupayaan pelajar bekerjasama dalam persekitaran yang berbeza.
Sepanjang program lima hari itu, peserta mengikuti sesi kuliah di USU, mengadakan lawatan pengurusan ladang kelapa sawit di PTPN IV Unit Adolina, serta meneroka rantaian pengeluaran teh di Sidamanik.
Pelajar program Sains Ekologi dan Biodiversiti UM, Dhia Haziq Hanif, berkata lawatan ke ladang memberi peluang untuk memahami aplikasi ilmu ekologi dalam sektor pertanian, khususnya pengurusan sumber dan persekitaran.
“Saya teruja dapat menambah pengetahuan mengenai pertanian dan melihat kaitannya dengan bidang yang dipelajari, termasuk memahami proses penghasilan minyak daripada buah kelapa sawit,” katanya.
Selain pengisian akademik, delegasi pelajar UM turut melawat Pulau Samosir dan menyaksikan persembahan kebudayaan Sigale-gale di Tomok bagi mengenali warisan masyarakat setempat, sekali gus mengukuhkan hubungan kerjasama akademik antara Fakulti Sains UM dan Fakultas Pertanian USU.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































