PANGKOR, 19 Oktober 2026 – Seramai 778 sukarelawan merangkumi pelajar dan kakitangan daripada 18 universiti awam seluruh negara digerakkan menerusi Misi Sukarelawan Mega @ Pangkor bagi membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian banjir kilat di Pulau Pangkor.
Misi berkenaan digerakkan susulan hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam bermula 4 pagi yang mengakibatkan paras air meningkat mendadak dan memasuki kediaman penduduk sebelum beransur-ansur surut sekitar 9 pagi, menjejaskan sekurang-kurangnya 150 rumah di Kampung Masjid, Kampung Teluk Kecil, Kampung Sungai Pinang Besar, Kampung Cina Sungai Pinang dan Kampung Cina Pangkor.
Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata komitmen pelbagai universiti dalam operasi pascabencana ini membuktikan institusi pengajian tinggi sentiasa prihatin dan bersolidariti dengan masyarakat yang berdepan kesukaran.
“Semangat kebersamaan yang ditunjukkan oleh penuntut-penuntut universiti awam yang terlibat hari ini membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi tidak pernah terpisah daripada nadi masyarakat. Misi Sukarelawan Mega di Pangkor ini merupakan terjemahan solidariti kita untuk bersama-sama mendepani ujian yang dihadapi rakyat,” kata beliau.
Operasi lapangan yang diselaraskan melalui Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) serta kepakaran Pasukan ResQ UPSI itu melibatkan 625 pelajar dan 153 staf.
Selain kerja-kerja pembersihan rumah, pasukan sukarelawan turut mengagihkan 520 sumbangan berupa bakul makanan, kit makanan sedia dimakan (retort), toto serta bantal bagi meringankan beban mangsa.
Bazli bin Abdul Razak
Bazli bin Abdul Razak bertugas sebagai Pegawai Unit Media di Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
































