SEREMBAN, 16 Julai 2025 – AEON CO. (M) BHD. (AEON) dijangka mengubah landskap peruncitan di Negeri Sembilan dengan projek pembangunan baharu membesarkan pusat beli-belah AEON Seremban 2, yang bakal menjadi terbesar di bandar ini dan memacu pertumbuhan ekonomi serta gaya hidup masyarakat setempat.
Majlis pecah tanah pembangunan tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, bersama Datuk Iskandar Sarudin, Pengerusi AEON CO. (M) BHD., dan Naoya Okada, Pengarah Urusan AEON.
Projek ini melibatkan pembinaan sebuah bangunan baharu empat tingkat, termasuk dua tingkat tempat letak kereta, di atas tanah seluas 23.04 ekar yang terletak bertentangan pusat beli-belah sedia ada. Kedua-dua bangunan akan dihubungkan melalui jejantas pejalan kaki bagi kemudahan akses kepada pengunjung.

Apabila siap sepenuhnya menjelang 2027, pusat beli-belah ini akan mempunyai jumlah keluasan lantai bersih (net lettable area – NLA) melebihi 700,000 kaki persegi, menjadikannya pusat beli-belah terbesar di Seremban. Pusat beli-belah AEON Seremban 2 sedia ada yang mula beroperasi pada tahun 2005 akan terus dibuka seperti biasa sepanjang tempoh pembinaan.
“Projek ini bukan sekadar pembesaran fizikal, tetapi mencerminkan komitmen AEON untuk menyediakan ruang komuniti yang lebih baik; untuk membeli-belah, berinteraksi dan meluangkan masa bersama keluarga,” kata Naoya Okada.
“Kami yakin pembangunan ini akan memacu aktiviti ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memperkenalkan pelbagai jenama, pilihan makanan, hiburan dan kemudahan berorientasikan komuniti,” tambah beliau.
Pembangunan AEON Seremban 2 merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang AEON untuk memodenkan pusat beli-belah serta memperluaskan perkhidmatannya ke seluruh negara.
Tahun lalu, AEON membuka pasar raya ke-35 di Setia Alam dan melancarkan AEON Wellness serta DAISO di Bloomsvale Shopping Gallery, Kuala Lumpur. Beberapa lokasi termasuk AEON MaxValu Desa ParkCity dan AEON Bandar Puchong turut dinaik taraf.
Pada tahun ini, AEON Ipoh Station 18 dibuka semula dengan wajah baharu, manakala kerja naik taraf sedang dijalankan di beberapa pusat beli-belah utama termasuk AEON Shah Alam, AEON Bukit Indah, AEON Bandaraya Melaka, dan AEON Kinta City.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































