MACHANG, 24 Oktober 2026 – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melaksanakan pelbagai projek penambahbaikan infrastruktur asas dan kemudahan awam di Kampung Pemanok, Batu 31 di sini, melalui Program Kampung Angkat MADANI bagi meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar.
Majlis peluncuran program berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin, yang menyaksikan kerjasama bersepadu bersama Majlis Daerah Machang, Madrasah Haji Ismail serta kepimpinan penduduk tempatan dalam melaksanakan penambahbaikan sistem saliran, pembaikan laluan dan struktur pembetung, serta pelebaran laluan ke tanah perkuburan.
Nuklear Malaysia menegaskan bahawa pelaksanaan program ini bukan sekadar memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya berperanan mendekatkan manfaat sains dan teknologi kepada rakyat selaras dengan aspirasi pembangunan negara.
“Melalui inisiatif ini, Nuklear Malaysia bukan sahaja menyumbang kepada penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan awam, malah memperluas peranannya dalam mendekatkan hasil penyelidikan dan teknologi negara kepada masyarakat selaras dengan slogan Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R). Seiring dengan semangat Malaysia MADANI, usaha ini diharap dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan progresif, di samping memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan dengan rakyat melalui pendekatan pembangunan yang inklusif dan memberi impak positif kepada kehidupan seharian,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selain kerja-kerja pembetungan dan laluan jalan, projek berkenaan turut merangkumi pemasangan lampu jalan solar, kerja menaik taraf pagar perkuburan, penggerudian telaga bagi sumber air tambahan semasa musim kemarau, pembinaan wakaf komuniti serta penyediaan mercu tanda kampung.
Bagi menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030, program ini turut memanfaatkan penganjuran pameran interaktif sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memperluas advokasi mengenai penggunaan teknologi nuklear secara aman dan selamat kepada generasi muda setempat.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































