HOLLYWOOD – Bintang sensasi global dan pelakon siri Reacher Musim Keempat, Agnez Mo, melakar sejarah apabila patung lilin dirinya secara rasmi dilancarkan di Madame Tussauds Hollywood pada 23 Oktober lalu, sekali gus menjadikan beliau selebriti pertama dari Indonesia yang menerima penghormatan tersebut di cawangan Amerika Syarikat.
Pembuatan karya seni ini menuntut komitmen tinggi dan ketelitian daripada pasukan yang terdiri daripada kira-kira 20 orang artis mahir. Ia mengambil masa sekitar setahun untuk disiapkan, bermula daripada pengumpulan ratusan imej rujukan, ukiran, acuan, hinggalah proses catan tangan yang memfokuskan ketepatan butiran seperti rona rambut dan mata.
Patung lilin ini dihasilkan dengan menggayakan jumpsuit hitam berlabuci yang diinspirasikan daripada persalinan Agnez dalam video muzik “Get Loose” yang menampilkan berkolaborasi beliau dengan bintang antarabangsa, Ciara, pada tahun 2023.
Menyifatkan pengiktirafan ini sebagai pencapaian yang membanggakan, penyanyi yang sudah merintis kerjaya antarabangsa itu menekankan bahawa detik ini membawa makna mendalam tentang perjuangan identiti peribadinya.
“Ia merupakan satu penghormatan yang luar biasa apabila diraikan di Madame Tussauds Hollywood. Apa yang menjadikan detik ini benar-benar bermakna ialah pengertian mendalam yang digambarkan,” kata Agnez. “Iaitu seorang gadis kecil yang sering rasa berbeza (dengan orang lain disekelilingnya), tetapi enggan membiarkan dunia mentakrifkan had batasannya, dan menjadikan perbezaan itu sebagai kekuatan terbesarnya.”
Beliau turut menitipkan pesanan inspirasi buat generasi muda yang sering berasa tersisih atau tidak difahami oleh masyarakat.
“Kepada setiap kanak-kanak yang pernah rasa wujudnya perbezaan, terlalu pelik, atau tidak difahami: anda tidak pernah ditakdirkan untuk mengikut acuan orang lain. Kekal tulen. Kekal asli. Berani untuk membuat kejutan. Walaupun dunia menggelar anda gila kerana bermimpi terlalu besar, jangan pernah hilang fokus dan sentiasa ingat sebab anda bermula,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Madame Tussauds Hollywood, Jesse Harbison, menyifatkan kehadiran susuk selebriti tersebut sebagai suntikan inspirasi yang bermakna di pusat tarikan pelancongan itu.
“Kami teruja untuk menerima patung Agnez bersama kami di Hollywood. Ini adalah satu detik bersejarah yang menjadi inspirasi kepada orang lain yang bakal mengikuti jejak langkahnya,” ujar Jesse.
Para peminat kini boleh mengunjungi Madame Tussauds Hollywood untuk melihat sendiri patung lilin Agnez Mo dengan lebih dekat.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.

































