PUTRAJAYA, 9 September 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN) yang berlangsung di Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya.
Majlis bersejarah tersebut merupakan kemuncak kepada rangkaian program sambutan ulang tahun ke-120 JAN sejak penubuhannya pada tahun 1906, sekali gus menegaskan peranan institusi berkenaan dalam memastikan pengurusan kewangan awam dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti.
Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, menyatakan bahawa JAN kekal komited melaksanakan peranan sebagai institusi semak dan imbang negara menerusi pengauditan yang bebas dan profesional bagi memastikan setiap pengurusan dana awam memberi nilai terbaik kepada rakyat.
“Laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen menjadi instrumen penting dalam memperkukuh akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus sektor awam negara,” kata beliau, sambil memaklumkan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen pada 5 Oktober 2026.
Sempena ulang tahun ke-120 bertemakan “Menjunjung Amanah: Audit Berkualiti, Meningkatkan Akauntabiliti”, JAN turut mempertingkatkan keupayaan pengauditan menerusi inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) yang memanfaatkan teknologi data analitik, data raya, dan kecerdasan buatan (AI).
Majlis berkenaan turut menyaksikan Sultan Ibrahim menandatangani Plak 120 Tahun JAN sebagai simbolik legasi kepimpinan audit negara, di hadapan kira-kira 550 tetamu jemputan merangkumi Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul, kepimpinan tertinggi kerajaan, serta perwakilan diplomatik asing.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































