KOTA BHARU, 1 Dis 2022 (Bernama) — Perikatan Nasional (PN) akan melantik beberapa ahli parlimen untuk memantau sesebuah kementerian bagi memastikan gabungan tersebut menjadi pembangkang yang konstruktif dan efektif kepada kerajaan sekarang.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata peranan PN sebagai pembangkang akan diagihkan dalam kalangan 73 ahli parlimen gabungan tersebut.
“Kita mempunyai 73 ahli parlimen…mungkin tiga orang akan ‘incharge’ kepada satu kementerian dan sebagainya.
“Apa yang penting adalah pemantauan dalam kalangan ahli parlimen PN ke atas sesuatu kementerian. Kita juga akan memberi cadangan apatah lagi kita pernah ada dalam kerajaan sebelum ini, ” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Kesyukuran Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.
Takiyuddin berkata PN juga akan terus menggesa kerajaan mengambil kira konsep federalisme iaitu sesiapapun menjadi kerajaan, namun pembangunan di peringkat negeri tidak boleh diketepikan.
“Apapun ideologi yang dibawa tidak boleh menjadi sebab untuk menghalang pembangunan di sesebuah kawasan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai usul undi percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 Dis ini, Takiyuddin berkata pihaknya setakat ini tidak menerima maklumat berhubung perkara itu.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Persidangan Parlimen ke-15, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan beliau akan diadakan pada 19 Dis ini, dengan satu usul undi percaya akan dibentangkan bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.
— BERNAMA