SEPANG, 10 Mac 2026 – Syarikat penerbangan AirAsia Malaysia hari ini mengumumkan laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Jakarta, Indonesia dengan empat penerbangan mingguan bermula 16 Jun ini bagi merancakkan sektor pelancongan kedua-dua negara.
Langkah memperluaskan rangkaian ke-20 di Indonesia itu menjadikan AirAsia sebagai syarikat penerbangan pertama yang mengendalikan penerbangan terus bagi laluan tersebut pada tahun ini.
Pembukaan laluan ini dijangka menyokong sasaran kerajaan negeri Kelantan untuk menarik 12 juta pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun ini, berbanding 11 juta pelawat yang direkodkan pada tahun lalu.
Selain itu, ia turut diselaraskan dengan sasaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) untuk merekodkan kedatangan 4.6 juta pelawat dari Indonesia, manakala kerajaan Indonesia menyasarkan sehingga 17.6 juta ketibaan pelancong asing pada tahun yang sama.
Pengurus Besar AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra berkata, pelancaran laluan baharu itu tiba pada masa yang tepat untuk meningkatkan kehadiran pelancong antarabangsa ke destinasi pantai timur.
Menurut beliau, apabila Kelantan mula berkembang dalam sektor pelancongan perubatan yang menyasarkan pasaran Indonesia dan negara jiran, perhubungan udara yang lebih kukuh menjadi sangat penting bagi menyokong industri tersebut.
“Disokong oleh hospital pakar swasta yang menawarkan rawatan berkualiti pada harga kompetitif, negeri ini bersedia menarik lebih banyak perjalanan perubatan merentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Setakat ini, AirAsia mengendalikan lebih 370 penerbangan mingguan antara Malaysia dan Indonesia dengan rekod jumlah penumpang dianggarkan hampir tiga juta orang pada tahun 2025.
Perhubungan secara terus ini juga dijangka membuka peluang yang lebih besar untuk pertukaran budaya, kerjasama perdagangan, dan pengembangan ekonomi memandangkan Kota Bharu dan Jakarta berkongsi warisan tradisi yang serumpun.
Kota Bharu terkenal dengan kraf tangan seni tempatan, khazanah kulinari dan suasana pantai yang indah, manakala Jakarta adalah sebuah ibu kota yang sibuk dan pusat ekonomi bagi Indonesia. Gabungan unik ini mewujudkan peluang yang unik untuk pertukaran budaya, kerjasama pelancongan, perdagangan, serta menghubungkan kedua-dua bandar melalui penerbangan secara terus dan perkembangan perkongsian ekonomi, sekali gus mengukuhkan hubungan serantau antara Malaysia dan Indonesia.
Jadual Penerbangan antara Kota Bharu (KBR) dan Jakarta (CGK):

Bagi laluan baharu ini, tiket penerbangan sehala dari Kota Bharu ke Jakarta bermula pada harga RM199, manakala perjalanan dari Jakarta ke Kota Bharu bermula pada kadar 709,000 rupiah.
Tempahan bagi laluan berkenaan dibuka bermula hari ini hingga 22 Mac 2026 bagi tempoh perjalanan antara 16 Jun 2026 hingga 27 Mac 2027 melalui aplikasi AirAsia MOVE dan laman web rasmi syarikat.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































