SEPANG, 19 Disember 2025 – AirAsia hari ini mengeluarkan nasihat perjalanan sempena musim cuti sekolah dan tempoh puncak perjalanan yang dijangka berlarutan sehingga awal Februari depan, dengan menggesa penumpang untuk memanfaatkan kemudahan daftar masuk kendiri serta tiba lebih awal di lapangan terbang bagi mengelakkan kesesakan.
Syarikat penerbangan itu menyarankan para tetamu untuk tiba sekurang-kurangnya dua jam lebih awal bagi penerbangan domestik dan tiga jam bagi penerbangan antarabangsa.
Menurut kenyataan AirAsia, kaunter daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) akan ditutup satu jam sebelum waktu perlepasan, manakala bagi lapangan terbang lain di seluruh Malaysia, kaunter ditutup 45 minit lebih awal untuk penerbangan domestik.
Bagi melancarkan proses perjalanan, penumpang digalakkan melakukan daftar masuk secara kendiri melalui aplikasi AirAsia MOVE yang dibuka seawal 14 hari hingga satu jam sebelum waktu berlepas. Pas masuk elektronik yang diperoleh melalui aplikasi tersebut kini diterima di kebanyakan lapangan terbang global, termasuk semua lapangan terbang di Malaysia.
Dalam pada itu, AirAsia menegaskan bahawa perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter fizikal hanya tersedia untuk golongan tertentu. Ini termasuk tetamu kurang upaya, individu yang membawa bayi bawah umur 24 bulan, wanita hamil, warga emas, dan remaja yang melakukan perjalanan sendirian.
Bagi wanita hamil, mereka dikehendaki mengisi borang di kaunter, manakala kandungan berusia lebih 27 minggu perlu disertakan dengan sijil perakuan doktor yang sah.
AirAsia turut memperkenalkan ciri Pengesahan Visa Automatik (AVC) pada aplikasi AirAsia MOVE untuk memudahkan penumpang antarabangsa. Tetamu boleh mengimbas atau memuat naik dokumen visa seawal 14 hari sebelum penerbangan bagi membolehkan pas masuk elektronik dikeluarkan serta-merta tanpa perlu beratur panjang untuk semakan manual.
Untuk rakyat Malaysia yang berlepas dari KLIA T2, AirAsia menyarankan penggunaan aplikasi MyBorderPass. Aplikasi ini membolehkan pelepasan imigresen yang lebih pantas melalui lorong khas kod QR dan pengesahan wajah.
Penumpang juga diingatkan mengenai polisi bagasi kabin yang membenarkan hanya satu beg kabin dan satu beg kecil dengan jumlah berat keseluruhan tidak melebihi 7kg. Kemudahan kiosk tanpa sentuh di lapangan terbang boleh digunakan untuk mencetak tag bagasi sebelum menurunkan beg di kaunter penurunan bagasi kendiri.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































