SEPANG, 2 September 2026 – AirAsia hari ini melancarkan kerjasama kod kongsi buat julung kalinya dengan syarikat penerbangan kos rendah terbesar di Türkiye, Pegasus Airlines, bagi menyediakan sambungan penerbangan dari Asia Tenggara ke Eropah menerusi hab Istanbul.
Kerjasama ini membolehkan penumpang dari Kuala Lumpur mengakses lima destinasi di Eropah, iaitu Stansted (London), Vnukovo (Moscow), Esenboga (Ankara), Zurich (Switzerland) dan Athens (Greece), melalui hab Istanbul Sabiha Gökçen dengan satu tempahan serta daftar masuk bagasi terus ke destinasi akhir.
Kerjasama ini dijangka bakal membabitkan lebih 100 laluan secara berperingkat.

Bagi menyokong sambungan jaringan antarabangsa berkenaan, AirAsia akan menambah frekuensi penerbangan laluan Kuala Lumpur-Istanbul (KUL-SAW) daripada empat kali kepada tujuh kali seminggu menjelang Februari 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group, Bo Lingam, berkata kerjasama ini menandakan pencapaian bermakna sempena ulang tahun ke-25 AirAsia dalam merealisasikan aspirasi menjadi rangkaian penerbangan kos rendah global.
“Dengan menghubungkan rangkaian luas kami di Asia dengan rangkaian kukuh Pegasus di Eropah dari Istanbul, kami menjadikan Eropah lebih mudah diakses oleh penumpang pada kadar tambang berpatutan, di samping membuka pintu masuk buat pelancong Eropah meneroka rantau ASEAN,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pegasus Airlines, Güliz Öztürk, berkata kerjasama ini menghubungkan laluan Istanbul Sabiha Gökçen sebagai hab utama yang membolehkan pelancong Eropah dan Asia Tenggara meneroka lebih 140 destinasi di rantau Asia Pasifik. Sempena kerjasama ini, AirAsia menawarkan tambang promosi terhad dari Kuala Lumpur ke lima destinasi Eropah berkenaan bermula daripada RM799* sehala, yang boleh ditempah menerusi AirAsia MOVE dari 2 hingga 6 September 2026 bagi tempoh perjalanan sehingga 27 Mac 2027.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































