SEPANG, 28 November 2025 — AirAsia X Berhad (AAX) mengekalkan prestasi menguntungkan pada suku ketiga 2025 (3Q25) dengan mencatatkan untung bersih RM27.8 juta, disokong persekitaran tambang yang positif, pengoptimuman rangkaian serta pengurusan kos lebih berkesan. Syarikat turut merekodkan untung operasi RM12.0 juta, empat kali ganda lebih tinggi berbanding RM3.0 juta pada suku sama tahun lalu.
AAX melaporkan perolehan RM803.5 juta, sedikit meningkat daripada RM795.0 juta pada 3Q24, dipacu oleh tambang asas lebih kukuh dan pendapatan sampingan yang terus berkembang. Faktor muatan penumpang (PLF) kekal stabil pada 82% meskipun musim perjalanan lebih perlahan, manakala tambang asas purata meningkat 5% kepada RM466.
Sebagai sebahagian strategi pengoptimuman rangkaian, AAX merombak operasi dengan menyerahkan beberapa laluan jarak sederhana seperti Bangkok, Hong Kong, Amritsar dan Perth kepada syarikat sekutu yang mengoperasikan pesawat narrowbody (berbadan sempit) yang lebih efisien. Ini menyebabkan penumpang dibawa menurun 5%, namun available seat kilometres (ASK) meningkat 9% berikutan penggunaan pesawat yang lebih optimum sehingga 16 jam sehari. Revenue passenger kilometres (RPK) turut meningkat 7% kepada 4,570 juta, dipacu permintaan kukuh di China dan Jepun.
Pendapatan sampingan kekal sebagai pemacu utama dengan kenaikan 5% kepada RM280.6 juta, manakala pendapatan sampingan per penumpang meningkat 11% kepada RM273, disokong jualan duty free lebih baik berbanding tahun lalu. Kos operasi pula menunjukkan pengurangan apabila kos per ASK (CASK) turun 9% kepada 12.68 sen susulan penurunan harga bahan api dan pengukuhan Ringgit.
Sementara itu, AirAsia X Thailand (TAAX) terus berdepan pemulihan pasaran lebih perlahan akibat sentimen pelancongan lemah. TAAX merekodkan pendapatan RM235.4 juta, penurunan 22% tahun ke tahun, dengan PLF pada 74%. Syarikat itu mencatat kerugian bersih RM128.4 juta namun menjangkakan prestasi meningkat sempena musim puncak hujung tahun serta pelancaran tiga destinasi baharu — Sendai, Almaty dan Riyadh — pada 4Q25.
Sehingga 30 September 2025, AAX mengoperasikan 18 daripada 19 pesawat Airbus A330, manakala TAAX mengekalkan sembilan pesawat A330.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail, berkata prestasi suku ini membuktikan ketahanan permintaan walaupun melalui musim lebih perlahan.
“Menjejaki 82% PLF adalah satu pencapaian dan menunjukkan kekuatan pasaran teras kami serta keberkesanan strategi pengoptimuman rangkaian,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pengaktifan semula pesawat terakhir syarikat ditangguhkan ke tahun depan akibat isu penyelenggaraan dan kelewatan induksi enjin oleh Rolls-Royce. “Kami bekerjasama rapat untuk memastikan pesawat diaktifkan pada awal 2026, sambil bersiap menerima empat pesawat A321LR tahun depan,” katanya.
Benyamin menambah bahawa pemulihan di China semakin kukuh, di samping pelancaran perkhidmatan baharu ke Tashkent dan Istanbul yang meningkatkan rangkaian Fly-Thru, kini menyumbang sekitar 20% trafik penumpang ke lebih 140 destinasi. Beliau berkata strategi pendapatan sampingan yang ditambah baik, pengurusan kos berdisiplin dan pengukuhan Ringgit menempatkan syarikat pada kedudukan kukuh menjelang suku paling sibuk tahun ini.
Menyentuh perkembangan korporat, Benyamin berkata, “Pada 29 Oktober 2025, kami mengumumkan semua syarat bagi cadangan pengambilalihan AirAsia Aviation Group Limited dan AirAsia Berhad telah dipenuhi. Ini membuka jalan kepada pembentukan kumpulan penerbangan yang diperbesarkan dan meletakkan kami dalam kedudukan untuk membina rangkaian penerbangan kos rendah pertama di dunia.”
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































