SEPANG, 21 Mei 2026 –AirAsia X Berhad berjaya mengekalkan pensijilan Audit Keselamatan Operasi (IOSA) daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dengan tempoh sah sehingga 16 Januari 2028.
Syarikat penerbangan dengan kod D7 itu telah menerima akreditasi di bawah program IOSA buat kali pertama pada tahun 2013. Sejak itu, AirAsia X secara konsisten menunjukkan komitmen tinggi dalam mematuhi piawaian keselamatan dan operasi antarabangsa yang paling ketat merentasi seluruh rangkaian operasinya.
Pengurus Besar AirAsia X, Benyamin Ismail, berkata kejayaan memperbaharui pensijilan ini mencerminkan kekuatan budaya keselamatan serta disiplin operasi yang diterapkan dalam seluruh organisasi mereka.
“Mengekalkan akreditasi IOSA sejak tahun 2013 merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat penerbangan ini, sekali gus memperkukuh komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap aspek keselamatan, perlindungan, dan kecemerlangan operasi demi para tetamu,” kata beliau lagi.
Program IOSA merupakan sistem penilaian yang diiktiraf di peringkat global untuk menilai pengurusan operasi serta sistem kawalan sesebuah syarikat penerbangan.
Audit yang dijalankan setiap dua tahun ini merangkumi lapan disiplin operasi utama iaitu sistem pengurusan dan organisasi, operasi penerbangan, kawalan operasi dan pelepasan penerbangan, kejuruteraan dan penyelenggaraan pesawat, operasi kabin, operasi pengendalian darat, operasi kargo, serta pengurusan keselamatan.
Pembaharuan pendaftaran ini membuktikan kepatuhan kumpulan itu terhadap keperluan keselamatan antarabangsa yang ketat di samping memperkukuh usaha penambahbaikan berterusan. Sementara itu, cadangan pertukaran nama daripada AirAsia X kepada AirAsia Group Berhad masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 serta pendaftaran oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































