SEPANG, 23 Jun 2025 — AirAsia X (AAX) memperluaskan rangkaiannya di Asia Tengah dengan pengumuman laluan baharu ke Tashkent, ibu negara Uzbekistan, yang dijadualkan bermula pada 15 Oktober 2025 dengan kekerapan tiga kali seminggu.
Langkah strategik ini menyusul kejayaan laluan AAX ke Almaty, Kazakhstan yang dilancarkan pada awal 2024. Dengan kadar muatan penumpang yang konsisten tinggi dan pertambahan kekerapan penerbangan, laluan baharu ini dijangka mengukuhkan lagi hubungan perdagangan, pelancongan dan perniagaan antara Asia Tenggara dan Asia Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail, berkata pengenalan laluan Kuala Lumpur-Tashkent merupakan satu pencapaian penting dalam perluasan rangkaian AAX di Asia.
“Asia Tengah mempunyai potensi besar, dan ekonomi Uzbekistan kini berkembang pesat. Kami melihat permintaan penumpang yang tinggi sejak pelancaran laluan Almaty, dan hasrat kami ialah membina jaringan menyeluruh yang memacu pembangunan serantau serta menghubungkan orang ramai ke destinasi baharu melalui pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan.”

Sementara itu, Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev, menyifatkan laluan ini sebagai perkembangan penting dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
“Penerbangan terus ini akan memperkukuh hubungan pelancongan dan membuka peluang pelaburan antara Uzbekistan dan Malaysia. Kami mengalu-alukan kehadiran AAX ke pasaran Uzbekistan dan berharap kerjasama ini akan membuahkan hasil yang berpanjangan.”
Promosi pengenalan bermula dari RM99
Bersempena pelancaran laluan baharu ini, AAX menawarkan tambang pengenalan bermula dari RM99 sehala (tempat duduk Ekonomi) bagi tempoh tempahan dari 23 hingga 29 Jun 2025, untuk perjalanan antara 15 Oktober 2025 hingga 14 September 2026. Tambang promosi ini tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk, manakala tambang biasa bermula dari RM899.

Tashkent merupakan sebuah bandar yang sarat dengan seni bina Islam yang menakjubkan, bazar yang sibuk dan taman-taman hijau yang indah. Terletak di tengah-tengah Laluan Sutera, ibu kota Uzbekistan ini bukan sahaja pusat ekonomi dan politik negara, tetapi juga destinasi pelancongan yang semakin berkembang, sesuai untuk pelancong dan usahawan.
Penerbangan baharu ini juga membuka peluang kepada pelancong dari ASEAN dan Australia untuk meneroka Tashkent dengan tambang lebih ekonomi melalui pilihan sambungan Fly-Thru AirAsia, yang merangkumi lebih 130 destinasi di seluruh dunia.
Maklumat lanjut dan tempahan boleh dibuat melalui laman web rasmi airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia.
Editor dalam talian dan penulis di majalah Gaya Travel dan Akses Malaysia. Kebahagiaan sebenar adalah apabila berada di jalanan mengembara, mengenali dan melihat dunia.













































