KUALA LUMPUR, 12 Februari 2026 – AirAsia X (AAX) terus melebarkan sayapnya dengan lebih agresif memperluaskan rangkaian globalnya apabila secara rasmi menjadikan Bahrain sebagai hab strategik utama di Timur Tengah.
Langkah ini bertujuan memperkukuh kesalinghubungan antara pasaran Asia, Timur Tengah, Eropah, dan Australia, sekaligus merealisasikan pelan pertumbuhan jarak sederhana syarikat penerbangan itu di luar rantau Asia Tenggara.
Pengumuman ini menyusul selepas pemeteraian Surat Hasrat (LOI) pada 3 November 2025 antara syarikat induknya, Capital A Berhad dan Kementerian Pengangkutan dan Telekomunikasi Bahrain.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAX, Bo Lingam berkata, pemilihan Bahrain adalah sebahagian daripada transformasi AAX menjadi syarikat penerbangan yang benar-benar terhubung secara global.
“Kami bangkit daripada pandemik dengan lebih disiplin, disokong oleh buku tempahan yang kukuh sebanyak 374 pesawat dan pelan pertumbuhan lima tahun yang komprehensif.
“Bahrain menepati pelan tindakan rangkaian jangka panjang kami untuk menghubungkan ASEAN dan Asia kepada dunia. Fokus kami kekal pada pengembangan armada secara berdisiplin dan memacu pertumbuhan digital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat AAX, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan hab baharu ini membolehkan AAX menghubungkan Asia dengan Eropah dengan lebih berkesan.
Malah, hab ini turut memberi manfaat kepada ekosistem perniagaan Capital A yang lain.
“Hari ini, Teleport (sayap logistik Capital A) mencatat sejarah apabila penerbangan pertamanya mendarat di Bahrain, susulan kejayaan meraih dana AS$50 juta baru-baru ini.
“Ini akan membantu memposisikan Bahrain sebagai hab penerbangan dan logistik utama di rantau ini,” jelas Tony.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Nasional Bahrain, H.E. Shaikh Salman bin Khalifa Al Khalifa turut mengalu-alukan kehadiran AirAsia X sebagai ahli ‘TeamBahrain’, yang dijangka menjana peluang pekerjaan langsung serta merancakkan sektor pelancongan dan logistik negara tersebut.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































