PUTRAJAYA, 27 Oktober 2026 – Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) terus memperkukuh peranan sebagai pemangkin budaya kerja positif dan berempati bagi memastikan kesejahteraan psikologi warga perkhidmatan awam terus terpelihara mendepani teknologi digital.
Majlis perasmian Konvensyen AKRAB Kebangsaan Kali Ke-9 Tahun 2026 (KAK 2026) disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail, di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Putrajaya, hari ini.
Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail berkata kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) menuntut warga perkhidmatan awam lebih bijaksana dalam mengurus perubahan, menjaga kerahsiaan serta memahami keperluan psikologi rakan sekerja.
“Jangan biarkan teknologi bergerak lebih pantas daripada kesediaan kita untuk berubah. Sebaliknya, jadilah insan yang mampu memimpin perubahan teknologi dengan nilai, etika dan kemanusiaan,” katanya.
Konvensyen dua hari bermula 27 hingga 28 Oktober 2026 bertemakan “AKRAB Menerajui Perubahan Era Digital” dengan slogan “Digital Beretika, Mental Terpelihara” itu menghimpunkan lebih 400 ahli AKRAB dari seluruh kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.
Sementara itu, Presiden Majlis AKRAB Kebangsaan (MAK), Mohd Afendi Ya@Zakaria, berkata transformasi digital memerlukan kebijaksanaan mengurus perubahan serta keupayaan memahami keperluan manusia agar kesejahteraan mental penjawat awam terus diberi perhatian.
“Transformasi digital bukan sekadar menuntut penguasaan teknologi, tetapi turut memerlukan kebijaksanaan mengurus perubahan serta keupayaan memahami keperluan manusia agar kesejahteraan mental warga perkhidmatan awam terus diberi perhatian,” katanya.
Pada masa yang sama, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik AKRAB 2026–2030 sebagai panduan hala tuju dalam memperkukuh kompetensi ahli, meningkatkan keberkesanan perkhidmatan menolong serta memperluas kerjasama strategik di peringkat kementerian dan agensi.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































