KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 – Amazfit, jenama peranti boleh pakai pintar global terkemuka milik Zepp Health, melancarkan ekosistem latihan hibrid secara rasmi di Malaysia bagi membantu atlet berlatih dengan lebih pintar.
Ekosistem digital ini menggabungkan bimbingan latihan pintar, alatan rasmi perlumbaan HYROX, serta kelengkapan untuk memantau prestasi dengan lebih terperinci merentasi aspek kekuatan otot, daya tahan fizikal, dan pemulihan tubuh badan.
Inisiatif terbaharu ini digerakkan oleh pengenalan siri jam pintar model Amazfit Balance 3 dan Amazfit Balance Ultra, dengan model Balance 3 kini mula dipasarkan secara rasmi di Malaysia.
Ekosistem ini berfungsi menyatukan kecerdasan aplikasi Zepp dengan siri jam berkenaan untuk membantu komuniti gaya hidup aktif memahami kaitan antara latihan, pemulihan, corak tidur, tahap stres, dan aktiviti harian, serta membantu pengguna membuat keputusan latihan yang lebih tepat.
Pengurus Pemasaran Amazfit Malaysia, Karmun Chow, berkata golongan atlet dan individu aktif masa kini perlu mengimbangi latihan kekuatan, senaman daya tahan, proses pemulihan, dan tanggungjawab harian secara serentak.
Beliau menjelaskan bahawa siri peranti boleh pakai ini dibina khusus untuk membantu pengguna melihat bagaimana semua elemen tersebut saling berkait bagi membolehkan mereka mencapai potensi prestasi yang optimum.
“Atlet dan individu aktif masa kini sedang mengimbangi latihan kekuatan, senaman daya tahan, pemulihan dan tanggungjawab harian, semuanya pada masa yang sama,” kata beliau.
“Siri Balance dicipta untuk membantu pengguna memahami bagaimana elemen-elemen ini berfungsi bersama, membolehkan mereka berlatih dengan lebih pintar, pulih dengan lebih baik dan beraksi pada tahap potensi mereka sepenuhnya,” kata beliau lagi.
Sebagai rakan peranti boleh pakai rasmi bagi sukan HYROX, kedua-dua model jam pintar berkenaan dilengkapi dengan peralatan khas termasuk sistem panduan rentak maya HYROX, pelan latihan dan simulasi perlumbaan, serta analisis terperinci pasca-perlumbaan. Kemudahan ini merangkumi data prestasi stesen senaman serta pengiraan masa kumulatif sepanjang perlumbaan.
Atlet Pro HYROX merangkap Duta Amazfit, Mohd Saddam Pittli, berkata konsistensi merupakan kunci utama dalam sukan tersebut, yang mana atlet terbaik ialah mereka yang bijak menguruskan keseimbangan antara latihan dan pemulihan.
Beliau turut berkata bahawa model Balance Ultra memberikan pemahaman yang jelas tentang tahap kesediaan fizikalnya bagi mengimbangi sesi latihan berat dengan sesi pemulihan yang betul bagi mengelakkan masalah keletihan melampau.
Majlis pelancaran rasmi tersebut telah diadakan di pusat latihan The Backyard Training yang terletak di Petaling Jaya, Selangor. Pelancaran berkenaan turut menjadi platform pengumuman bagi penganjuran Bengkel HYROX Kelab Komuniti Amazfit Malaysia akan datang sebagai usaha memperkukuh komitmen jangka panjang jenama itu dalam membina rangkaian komuniti kecergasan hibrid di negara ini.
Dari aspek spesifikasi, kedua-dua model jam menampilkan skrin AMOLED bersaiz 1.5 inci dengan kaca nilam, sokongan GPS dwi-jalur dengan kedudukan enam satelit, mod latihan kekuatan yang mengesan 25 senaman secara automatik, dan memantau tahap kesihatan dengan terperinci.
Peranti ini juga menawarkan jangka hayat bateri sehingga 21 hari bagi model Balance 3 dan sehingga 30 hari bagi model Balance Ultra, dengan harga jualan bermula daripada RM1,599 sehingga RM2,599 melalui gedung rasmi Amazfit Malaysia serta rakan niaga terpilih.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































