KUCHING, 20 Sept 2022 (Bernama) — Kerajaan Persekutuan komited capaian Internet menyeluruh di seluruh negeri Sarawak menjelang tahun 2024, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Katanya sasaran itu mampu dicapai melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 dengan lebih 600 kampung di Sarawak, bakal mendapat akses capaian Internet menggunakan teknologi satelit.
Jelasnya 600 kampung di Sarawak itu merupakan antara 1,400 kampung di seluruh negara, yang telah dikenal pasti sebagai kawasan capaian Internet yang kurang memuaskan.
“Jika kita mahu tunggu 1,400 kampung itu untuk pasang menara dan fiber optik (untuk dapatkan Internet) kita jangkakan akan ambil masa 10 tahun dan saya fikir rakyat tidak harus tunggu begitu lama.
“Sebab itu di bawah JENDELA Fasa 2, capaian Internet harus disegerakan dengan menggunakan teknologi satelit,” katanya dalam satu sidang media selepas majlis penyerahan PerantiSiswa di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 411 pelajar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang dan IPG Kampus Tun Abdul Razak, menerima peranti tersebut, dalam sesi pengagihan peringkat negeri Sarawak yang bermula hari ini.
Setakat hari ini, jumlah permohonan yang telah diluluskan untuk negeri Sarawak adalah seramai 7,400 pelajar.
Sementara itu, Annuar berkata walaupun kos menyediakan akses capaian Internet menggunakan teknologi satelit itu tinggi, namun Kerajaan Persekutuan bersedia menanggung perbelanjaan itu.
Jelasnya buat masa ini anggaran kos untuk program JENDELA Fasa 2 juga belum lagi dimuktamadkan.
“Sekarang ini (JENDELA Fasa 2) dalam proses untuk menyiapkan tender dan tender akan dipanggil tahun ini juga. Kita jangkakan pelaksanaan akan bermula pada 2023,” katanya.