KUALA LUMPUR — Malaysia sememangnya tidak dapat mengelak daripada situasi jerebu yang melanda hampir setiap tahun, terutama akibat kebakaran dan pembakaran terbuka di Indonesia yang boleh menyebabkan asap merentasi sempadan.
Menurut pemantauan satelit dan laporan harian daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) , fenomena jerebu yang melanda negara ketika ini berpunca daripada pergerakan asap rentas sempadan akibat aktiviti pembakaran terbuka di beberapa kawasan titik panas (hotspots) di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia.
Kenapa Malaysia dilanda jerebu setiap tahun?
Tiupan angin Monsun Barat Daya yang merentasi rantau ini membawa zarah halus (PM2.5) melintasi Selat Melaka dan Laut China Selatan, sekali gus memburukkan lagi kualiti udara di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, terutamanya di kawasan yang mengalami cuaca panas dan kering serta menerima taburan hujan yang rendah.
Antara kawasan yang paling ketara terjejas akibat jerebu di Malaysia ialah bahagian barat dan selatan Sarawak, termasuk Kuching, Serian dan Sri Aman, yang terletak berhampiran kawasan titik panas di Kalimantan.
Keadaan sama turut menjejaskan pantai barat Semenanjung Malaysia, khususnya kawasan berpenduduk padat di Lembah Klang seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang, selain beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berikutan tiupan angin Monsun Barat Daya yang membawa asap dari Sumatera merentasi Selat Melaka.
Memahami tempoh dan perkembangan jerebu
Secara umumnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan jerebu di kawasan berisiko boleh berlanjutan sehingga penghujung September, mengambil kira fasa akhir Monsun Barat Daya yang lazimnya membawa cuaca lebih kering serta arah tiupan angin dari kawasan titik panas di negara jiran.
Memasuki Oktober, peralihan kepada fasa Peralihan Monsun biasanya membawa lebih banyak taburan hujan dan perubahan arah angin yang dapat membantu memulihkan kualiti udara. Walau bagaimanapun, keadaan jerebu tetap bergantung pada keberkesanan kawalan kebakaran hutan tempatan dan rentas sempadan, selain kekerapan hujan dalam tempoh terdekat.
Risiko jerebu kepada kesihatan umum
Menyentuh risiko kesihatan akibat pencemaran udara, Pakar Perubatan Keluarga Alpro Clinic, Dr Kam San Dhit, menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah bagi melindungi sistem pernafasan, khususnya ketika melakukan aktiviti di luar rumah.
“Setiap tahun jerebu bermusim kembali akibat pembakaran pertanian dan corak cuaca dari rantau jiran berhampiran, beserta dengan pelepasan industri tempatan. Kebimbangan utama adalah apa yang berlaku sejurus anda menarik nafas apabila tubuh dipaksa menyedut campuran bahan iritasi mikroskopik,” kata Dr Kam San Dhit.
Bagi mengurangkan pendedahan kepada zarah pencemar dalam udara, beliau menyarankan orang ramai memakai pelitup muka gred N95 ketika berada di luar rumah serta menjaga kebersihan hidung dengan menggunakan semburan cecair salina isotonik (isotonic saline spray) atau pembilasan hidung (nasal rinse).
Amalan tersebut dapat membantu membilas habuk, jelaga dan mukus yang terperangkap pada permukaan mukosa hidung serta melegakan keradangan saluran pernafasan atas. Penggunaan penapis udara HEPA di dalam rumah dan pengambilan air yang mencukupi turut disarankan sebagai langkah tambahan.
Destinasi pelancongan pada musim jerebu
Selain mengambil langkah melindungi kesihatan, pemilihan destinasi turut penting bagi mereka yang merancang untuk melakukan aktiviti luar ketika keadaan jerebu berterusan.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), keadaan kualiti udara di Malaysia menunjukkan perbezaan ketara mengikut kawasan ketika jerebu berterusan.
Menyahut seruan kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026), pelancong tempatan masih boleh memilih untuk keluar melancong secara domestik, tetapi perlu memilih destinasi yang sesuai.
Pelancong yang ingin melakukan aktiviti luar disarankan memilih kawasan di utara Semenanjung Malaysia, termasuk Perlis, Kedah, khususnya Langkawi dan Pulau Pinang, serta Sabah, yang mencatatkan bacaan kualiti udara dalam kategori “Baik” hingga “Sederhana” dengan IPU antara 29 hingga 79.
Sementara itu, kawasan Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang mengekalkan kualiti udara yang lebih baik. Hal ini kerana corak tiupan angin Monsun Barat Daya yang bertiup menjauhi pesisir timur membantu mengurangkan kesan jerebu di kawasan tersebut. Kawasan seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Cameron Highlands masih berada dalam kategori “Baik” hingga “Sederhana”, sekali gus menjadikannya antara destinasi alternatif untuk aktiviti luar.
Sebaliknya, perjalanan ke Sarawak, khususnya Sarikei, Samarahan, Kuching dan Sibu yang mencatatkan peningkatan IPU antara 150 hingga 195, serta beberapa kawasan di Johor seperti Larkin, Kluang dan Pasir Gudang dan Batu Muda, Kuala Lumpur, perlu dielakkan atau dilakukan dengan langkah berjaga-jaga yang tinggi.
Pilihan melancong ke luar negara pada musim jerebu
Bagi rakyat Malaysia yang ingin melancong ke negara berdekatan, mereka disarankan memilih destinasi yang kurang terjejas akibat jerebu seperti Thailand dan Vietnam. Kedua-dua negara ini merupakan antara pilihan yang lebih sesuai untuk dilawati kerana berada di luar laluan utama tiupan angin yang membawa asap jerebu.
Sementara itu, Singapura berdepan risiko jerebu yang lebih ketara berbanding Brunei berikutan kedudukannya yang lebih hampir dengan kawasan titik panas (hotspots) di Sumatera.
Brunei pula secara relatifnya lebih terlindung daripada kesan jerebu dan hanya menerima kesan secara minimum dari semasa ke semasa, bergantung pada arah tiupan angin dari Kalimantan.
Orang ramai disarankan merujuk bacaan kualiti udara terkini menerusi portal rasmi APIMS atau platform pemantauan IQAir sebelum merancang sebarang aktiviti luar, khususnya di kawasan yang terjejas akibat jerebu.
Pastikan yang benar, bukan omong kosong
































