SHAH ALAM, 17 Julai 2022 — Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diumum secara rasmi sebagai Presiden PKR bagi sesi 2022-2025 pada Kongres Nasional Ke-16 parti itu selepas menang tanpa bertanding jawatan nombor satu parti pada Pemilihan PKR 2022.
Keputusan kepimpinan baharu PKR diumum Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Saiful Izham Ramli.
Bekas Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli pula diumum secara rasmi dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR, menewaskan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut laman web rasmi PKR, Mohd Rafizi meraih 59,678 undi manakala Saifuddin Nasution mendapat 43,010 undi.
Sementara itu, empat jawatan Naib Presiden PKR yang menyaksikan pertandingan 17 penjuru dimenangi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari (46,075 undi), Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang (34,939), Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (34,496 undi) manakala Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (33,230 undi).
Turut diumum adalah senarai 20 barisan baharu Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih oleh 2,665 perwakilan pada Kongres Nasional PKR semalam.
— Bernama