KUALA LUMPUR, 5 November 2026 – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan bahawa peraturan mewajibkan pengasingan dan penyelarasan penjualan tiket bas ekspres melalui terminal bas berlesen serta platform jualan dalam talian berdaftar dilaksanakan secara berfasa bermula 1 November 2026.
Pendekatan pelaksanaan secara berfasa ini bertujuan memberikan tempoh peralihan yang munasabah kepada pihak pengurusan terminal bas berlesen dan pengendali bas ekspres untuk membuat persediaan teknikal.
Langkah ini merangkumi penyesuaian sistem tiket, integrasi platform digital serta penyelarasan proses operasi bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam darat berjalan lancar tanpa menjejaskan pengguna.
APAD dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tarikh 1 November 2026 ditetapkan sebagai titik permulaan pelaksanaan secara terancang mengikut tahap kesiapsiagaan teknikal industri sebelum penguatkuasaan penuh dikuatkuasakan kelak.
“Pendekatan ini bertujuan memberi ruang secukupnya kepada pihak industri untuk menstabilkan sistem operasi masing-masing serta memastikan proses peralihan dapat dilaksanakan secara teratur agar tidak menjejaskan perkhidmatan kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang tempoh peralihan ini, orang awam masih boleh membuat pembelian dan tempahan tiket bas ekspres menggunakan platform atau kaedah sedia ada mengikut urusan perjalanan masing-masing.
Bagi pembelian tiket yang telah dibuat secara dalam talian, pengguna dinasihatkan mendapatkan pengesahan serta membuat penyelarasan perjalanan menerusi pihak terminal bas berlesen atau saluran jualan berkaitan tertakluk kepada tatacara ditetapkan.
Pada masa sama, MOT bersama APAD kekal komited dalam memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan pengangkutan awam darat sentiasa efisien, telus dan selamat di samping memastikan hak serta kebajikan pengguna sentiasa terpelihara.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah


































