KUALA LUMPUR, 28 April 2025 – Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan AFFIN Islamic Bank Berhad memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan dan penglibatan industri menerusi penyerahan dana geran penyelidikan serta tajaan persidangan antarabangsa berjumlah RM64,000.
Majlis penyerahan mock cheque berlangsung di Balai Ilmu Mahmood Zuhdi, APIUM, sebagai simbol komitmen kedua-dua institusi dalam menyokong kecemerlangan ilmu dan pembangunan ekosistem kewangan Islam berteraskan Syariah.
Daripada jumlah keseluruhan sumbangan, RM49,000 diperuntukkan bagi Geran Penyelidikan untuk kajian bertajuk “The Concept of al-I‘ānah ʿAlā al-Māṣīyah in Shariah and Its Application in Islamic Banking Industry in Malaysia”, manakala RM15,000 disalurkan sebagai tajaan Persidangan Antarabangsa Jurnal Syariah 2025 yang bakal menghimpunkan para cendekiawan Islam dari seluruh dunia.
Majlis yang bermula jam 11.00 pagi itu turut dihadiri oleh Profesor Ir. Dr. Kaharudin Dimyati, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya, serta Puan Jozaimah Johan Ali, Ketua Jabatan Strategi dan Operasi Affin Islamic Bank Berhad yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif bank tersebut, Dato’ Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin.
Menurut pihak penganjur, kolaborasi ini menyokong matlamat APIUM sebagai institusi penyelidikan unggul dan menjana pengetahuan bersifat aplikasi yang dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan industri kewangan Islam di Malaysia.
Geran penyelidikan tersebut akan memberi tumpuan kepada konsep al-‘Iānah ʿAlā al-Māṣīyah, iaitu satu isu yang kerap dibincangkan dalam muamalat Islam kontemporari. Kajian ini dijangka mampu menambah baik amalan kontrak muamalat dalam konteks sistem perbankan dwi yang diamalkan di Malaysia. Kajian akan dikendalikan oleh pakar penyelidik daripada Jabatan Syariah dan Ekonomi, Jabatan Syariah dan Pengurusan serta Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM.
Selain penyelidikan, pihak Affin Islamic Bank turut menaja penganjuran Jurnal Syariah International Conference (JSIC) 2025 yang akan berlangsung pada 6 Mei 2025. Bertemakan “Integration of Shariah and Artificial Intelligence in Addressing Contemporary Issues”, persidangan ini bertujuan mengangkat perbincangan akademik tentang cabaran dan peluang integrasi Syariah dan teknologi kecerdasan buatan dalam menangani isu semasa.
Kerjasama ini mencerminkan iltizam bersama antara APIUM dan AFFIN Islamic Bank untuk memperkasa penyelidikan Syariah berimpak tinggi serta memacu inovasi kewangan Islam yang beretika, telus dan lestari.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.