KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2022 — Bajet 2023 yang akan dibentang pada Oktober ini akan terus memberi penekanan kepada kebajikan Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata ia juga akan mengambil kira kesediaan negara berdepan kemungkinan krisis ekonomi global yang lebih mencabar berbanding sebelum ini.
“Alhamdulillah, selepas hampir setahun menerajui pentadbiran negara, saya gembira melihat prestasi ekonomi negara kini berada di landasan kukuh untuk kembali pulih dan berdaya tahan.
“Jumaat lepas, Bank Negara mengumumkan prestasi suku kedua ekonomi negara pada tahun ini yang berkembang sebanyak 8.9 peratus dengan disokong kegiatan ekonomi yang kembali normal,” katanya berucap pada Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Wanita Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) di sini hari ini.
— BERNAMA