KUALA LUMPUR, 18 Julai 2025 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) hari ini telah merasmikan pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari, yang menghimpunkan karya seni daripada seniman-seniman rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam- Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP- EAGA).
Pameran ini mula dibuka kepada orang ramai pada 18 Julai 2025 hingga 31 Mei 2026 di Galeri 3A, Balai Seni Negara.
Perasmian ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Turut hadir ialah YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah LPSVN, pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi, serta para kurator dan penggiat seni visual dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.

Pameran ini merupakan salah satu inisiatif di bawah agenda Diplomasi Budaya yang selaras dengan Pelan Strategik MOTAC 2021–2025, terutamanya dalam memperkasa jaringan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan kebudayaan.
Penganjurannya juga sejajar dengan visi BIMP-EAGA 2025 yang berteraskan prinsip berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing dari segi ekonomi (R.I.S.E), serta menjadi antara pengisian sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.
Melalui pameran ini juga, Balai Seni Negara memberi tumpuan kepada refleksi visual para seniman dari keempat-empat negara yang menyentuh dimensi ekonomi, hubungan sosial, penjagaan alam sekitar, keilmuan serta yang paling utama, kearifan tempatan dalam wilayah timur ASEAN.
Wilayah ini merangkumi keseluruhan Kesultanan Brunei Darussalam dan jalur Kalimantan dari Pontianak hingga Balikpapan di Indonesia, wilayah Sulawesi dan Maluku, negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan di Borneo Malaysia, serta bahagian selatan Filipina yang meliputi Kepulauan Mindanao dan Palawan.
Antara seniman yang terlibat ialah Josrie bin Haral, Muslim bin Mattajim dan Dr. Mohamad Faizuan Mat dari Malaysia. Brunei Darussalam diwakili oleh Umi Zaty Bazillah Binti Zakaria dan Asilah Maziyah Binti Dr. Mohamad Yussof. Manakala seniman dari Filipina terdiri daripada Chester M. Mato, Romy Jones Mata, Leonard B. Ansiong, Brendale Taj Hassan Tadeo dan Alynnah Macla.
Sementara itu, Indonesia diwakili oleh Audro Chrustofel Rompas, bersama dua kolektif seni iaitu Susur Galur dari Pontianak yang menghimpunkan Muchamad Riduwan, Tito Prastio dan Elfrida Citra Rominggagas, serta Muara Suara dari Samarinda yang terdiri daripada Robby Ocktavian, Prashasti Wilujeng Putri dan Rio Raharjo.
Penglibatan kurator serantau turut mencorakkan arah kuratorial pameran ini, melibatkan Zakaria bin Omar dari Brunei Darussalam, I Wayan Seriyoga Parta dan Gusti Hendra Pratama dari Indonesia, serta Al Nezzar B. Ali dari Filipina.
Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari memperlihatkan pelbagai bentuk ekspresi artistik termasuk media campuran, instalasi, catan, fotografi, audio dan videografi.
Sebanyak 12 karya dipamerkan, termasuk satu karya daripada Koleksi Seni Visual Negara oleh seniman dari Malaysia, Yee I-Lann.

Orang ramai dijemput hadir untuk menghayati pelbagai naratif seni dari rantau BIMP- EAGA, sekali gus membuka ruang kepada pemahaman yang lebih meluas terhadap persamaan dan perbezaan dalam landskap budaya Timur Asia Tenggara.
Maklumat lanjut mengenai pameran ini, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my .
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































