KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2026 – Balai Seni Negara meneruskan Pameran Hanya Satu (Single) menerusi siri ke-13 dengan menampilkan karya Tumbuh, sebuah karya seni instalasi hasil kolaborasi seniman Azam Aris dan Yuki Mun yang berlangsung dari 30 September hingga 20 Disember 2026.
Karya instalasi yang berukuran ketinggian kira-kira 14 kaki itu mengambil inspirasi daripada cerita rakyat mengenai penjaga hutan yang tidak kelihatan bagi mengetengahkan proses pertumbuhan alam serta hubungan antara manusia dan persekitaran.
Di samping itu, struktur organik berkenaan dibina menggunakan bahan semula jadi seperti tempurung kelapa, jerami padi, batang pokok kelapa dan tali jut yang diolah daripada objek biasa kepada bentuk visual seni kontemporari.
Bentuk karya yang membengkok, berpintal dan bercabang mencerminkan cara tumbuhan berkembang secara semula jadi tanpa mengikut pergerakan yang lurus.
Penggunaan bahan organik turut menyaksikan karya Tumbuh berubah secara semula jadi sepanjang tempoh pameran sebagai metafora kepada proses pertumbuhan yang sentiasa berkembang dan menyesuaikan diri.
Menerusi karya ini, pengunjung diajak untuk melihat semula kepentingan menjaga keharmonian dan keseimbangan antara manusia dengan alam sekitar dalam konteks kehidupan masa kini.
Dalam pada itu, orang ramai dijemput hadir menyaksikan pameran berkenaan di Balai Seni Negara atau layari laman sesawang rasmi www.artgallery.gov.my untuk maklumat lanjut.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































