Kuala Lumpur, 19 April 2024 – Batik Air hari ini mengumumkan penangguhan semua penerbangan ke Istanbul, Turkiye, bermula 1 Mei 2024 berikutan situasi semasa di Timur Tengah yang memberi kesan terhadap laluan penerbangannya.
Situasi ini menyebabkan operasi penerbangan yang terhad sehingga menyukarkan untuk menyambung perkhidmatan ke rantau ini.
Sehubungan dengan itu Batik Air telah mengambil keputusan untuk menangguhkan semua perkhidmatan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW).
Dalam satu kenyataan rasmi yang diedarkan pada hari ini, Batik Air menyatakan keselamatan sebagai sebab utama penangguhan ini.
Ketegangan politik yang berterusan di rantau ini telah menyebabkan beberapa sekatan operasi, menjadikan penerbangan ke Istanbul sukar untuk diteruskan. Oleh itu, Batik Air telah meneliti situasi ini dan mengambil keputusan yang sukar ini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan krew yang menjadi keutamaan utama syarikat.
“Kami memahami kesulitan yang mungkin timbul kepada penumpang kami yang dihargai,” antara petikan dari kenyataan itu. “Kami memohon maaf dengan tulus atas sebarang gangguan yang mungkin berlaku pada perancangan perjalanan mereka.”
Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan melalui e-mel dan mesej teks, dan bagi memohon pemulangan wang, penumpang boleh melawat laman web malindoair.com/Refund-Request .
Batik Air akan terus memantau situasi dengan teliti dan memberikan kemas kini mengikut keperluan. Penumpang digalakkan untuk melawat laman web Batik Air untuk mendapatkan maklumat lanjut.