KUALA LUMPUR, 27 Dis 2022 (Bernama) — Berjaya Corp Bhd (BCorp) sedang menilai potensi pengambilalihan utama yang melibatkan entiti berlesen yang ditadbir oleh Bank Negara Malaysia (BNM), di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA).
BCorp dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini memberitahu bagi memudahkan pengambilalihan 51 peratus kepentingan dalam entiti berlesen itu, pemegang saham utama dan pengerusi bukan eksekutifnya Tan Sri Vincent Tan telah berjanji untuk mengurangkan pegangan sahamnya dalam BCorp bagi mematuhi Seksyen 92 FSA.
Seksyen 92 memperuntukkan bahawa tiada individu boleh memegang lebih daripada 10 peratus kepentingan dalam syer orang berlesen.
“Sehubungan itu, Tan telah melupuskan beberapa saham untuk mengurangkan kepentingannya dalam BCorp kepada tidak lebih daripada 19.6 peratus, yang akan menyebabkan kepentingan efektifnya dalam saham entiti berlesen itu tidak melangkaui 10 peratus daripada potensi pengambilalihan.
“Tan telah mengumumkan kepada lembaga pengarah BCorp bahawa beliau berhasrat untuk mengurangkan pegangan sahamnya kepada tidak lebih daripada 19.6 peratus menjelang akhir Januari 2023,” katanya.
BCorp berkata lembaga pengarah bercadang untuk mengembangkan segmen perkhidmatan kewangannya dan menjangkakan sumbangan daripada pengambilalihan berpotensi berkenaan akan menyumbang dengan ketara kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan.
“Pengumuman akan dibuat mengikut keperluan dengan mematuhi ketetapan BNM dan Bursa Malaysia dalam masa terdekat,” katanya.
— BERNAMA