Kuala Lumpur, 31 Julai 2022 -– Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meninggal dunia pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Hantaran di laman Facebooknya memaklumkan Allahyarham Abdul Khalid, 76, telah dimasukkan ke hospital sejak 23 April lepas akibat jangkitan pada injap jantung.
Menurut hantaran tersebut, jenazah Menteri Besar ke-14 Selangor itu akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.
“Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, jenazah Allahyarham akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.
Allahyarham dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya,” menurut hantaran tersebut.
Allahyarham Abdul Khalid, anak jati Jeram, Kuala Selangor meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu.
Abdul Khalid mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-14 pada 13 Mac 2008 di Istana Bukit Kayangan dan menerajui Selangor sehingga 22 September 2014.
Beliau merupakan Menteri Besar Selangor yang pertama dari parti pembangkang, Pakatan Harapan menggantikan Dr. Mohamad Khir Toyo.
Sebelum menyertai politik, Abdul Khalid pernah bekerja sebagai guru, pensyarah universiti, pegawai kredit, pegawai kewangan korporat dan memegang pelbagai jawatan tinggi dalam Permodalan Nasional Bhd (PNB).
Beliau dikenali dengan serangan subuh (dawn raid) ke atas London Stock Exchange pada 1981 yang menyaksikan PNB mencatat agihan 51% syer di syarikat perindustrian British iaitu Guthrie kurang daripada dua jam. Abdul Khalid kemudian menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Malaysianized Guthrie, yang kemudiannya dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd, dari 1995 hingga 2003.
— Akses Malaysia
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































