TANJONG MALIM, 11 Sept — Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri automotif tempatan dan antarabangsa bagi mendapatkan pandangan serta cadangan strategik menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
Sesi perbincangan strategik yang berlangsung di Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di sini, diketuai oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. Program jelajah ini dianjurkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan DRB-HICOM Bhd selaku tuan rumah.
Bercakap dalam sesi tersebut, Amir Hamzah berkata sektor automotif merupakan pemangkin penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, di samping menyokong peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta aspirasi penyerapan kenderaan elektrik (EV) nasional.
Menurut beliau, pemerkasaan sektor automotif berteknologi tinggi bukan sahaja berupaya menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi, malah menjadi tunjang kepada daya saing eksport, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan.
“Cadangan dan maklum balas daripada pemain industri pada hari ini amat bernilai untuk meneliti penambahbaikan dasar, insentif, dan langkah fiskal di bawah Belanjawan 2027,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Sesi libat urus berkenaan telah menggariskan empat keutamaan strategik, termasuk penambahbaikan dasar dan langkah fiskal bagi meningkatkan produktiviti, pelaburan langsung asing (FDI), serta menyokong sasaran pemilikan EV dan Kenderaan Generasi Baharu (NxGV).
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan infrastruktur digital dan ekosistem EV, pengukuhan rantaian bekalan tempatan untuk pasaran global, serta penyediaan modal insan berkemahiran tinggi melalui latihan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).
MOF menegaskan, usaha memperkukuh industri automotif ini adalah selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Dasar Automotif Negara (NAP 2020) yang menyasarkan kedudukan Malaysia sebagai hab pengeluaran serta eksport NxGV dan kenderaan mesra alam di rantau ASEAN.
Belanjawan berasaskan keberhasilan
Menyentuh mengenai kerangka perancangan ekonomi negara yang lebih luas, Amir Hamzah menjelaskan bahawa penyediaan Belanjawan 2027 sedang dilaksana secara inklusif menerusi pendekatan Belanjawan Berasaskan Keberhasilan .
“Pendekatan ini menyasarkan supaya setiap ringgit yang dibelanjakan dapat menyelesaikan masalah rakyat, membuka peluang ekonomi, dan menghasilkan impak yang nyata.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan peruntukan Kerajaan diurus secara cekap, diukur prestasinya secara telus, dan membuahkan hasil yang disasarkan kepada rakyat,” tambah beliau lagi.
Siri Jelajah Belanjawan 2027 akan diteruskan menerusi sesi kumpulan fokus bersama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, industri, institusi kewangan, dan orang awam. Semua input yang diperoleh akan diteliti dalam memuktamadkan Belanjawan 2027 bagi memastikan pembangunan negara berteraskan kerangka Ekonomi MADANI terus terjamin.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.



































