SHAH ALAM, 19 Jun (Bernama) — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mengadakan Bicara Tokoh Seni Budaya ‘Seni Persembahan Pemangkin Ekonomi dan Kerjaya’ pada 14 Jun 2023 (Rabu) yang lalu di Ruang Eksperimental, FiTA UiTM Puncak Perdana Shah Alam, Selangor, bermula pada jam 2.00 petang.
Sebanyak 400 peserta yang terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ASWARA telah menyertai program ini.
Program ini merupakan sesi bual bicara yang membincangkan pencapaian dan kejayaan tokoh-tokoh penggiat seni yang sedang meningkat naik atau tokoh muda, serta mengulas formula kejayaan dan inovasi mereka dalam bidang tertentu.
Tujuan program ini adalah untuk memberikan penghargaan kepada tokoh-tokoh terpilih dan menganjurkan sesi dialog mengenai riwayat kehidupan mereka sebagai anak seni yang berjaya, serta memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman, dan kejayaan dengan tokoh-tokoh tersebut.
Antara panel jemputan yang akan berkongsi pengalaman dalam program ini ialah YBhg Dato’ Tamimi Siregar (Tokoh Teater), YBhg Dato’ Ramli M.S (Tokoh Muzik), dan YBhg Datin Marion F. D’Cruz (Tokoh Tari). YBhg Prof Madya Dr. Aminah Rhapor, Pengajian Seni Persembahan, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, akan menjadi moderator sepanjang sesi tersebut.
Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), serta YBrs. Profesor Dr Shahanum Md Shah, Penolong Naib Canselor Kolej dan Pengurusan Kreatif UiTM.
“JKKN sentiasa berusaha melahirkan pelapis untuk pemuliharaan seni budaya negara. Yang paling penting, mereka perlu menyedari bahawa seni budaya juga menjadi pemangkin kepada ekonomi negara dan juga kerjaya mereka,” kata YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN dalam kenyataannya hari ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melawat laman media sosial JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya.