KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Platform penstriman langsung global, Bigo Live, menghimpunkan lebih 150 pencipta kandungan terkemuka dari rantau Asia Pasifik dalam majlis Anugerah Gala Pertengahan Tahun yang berlangsung di sini hari ini bagi meraikan pencapaian dan memperkasakan komuniti digital tempatan.
Penganjuran acara yang menghimpunkan pencipta kandungan dari Malaysia, Singapura, Oceania, Hong Kong, Macau dan Taiwan itu bertujuan meraikan hubungan, kreativiti serta semangat kemasyarakatan yang dibina menerusi platform penstriman berkenaan.
Jurucakap Bigo Live Malaysia berkata penganjuran majlis berkenaan mencerminkan bagaimana pencipta kandungan menggunakan perkhidmatan penstriman langsung untuk saling berhubung dan membina komuniti yang saling menyokong.
“Di sebalik setiap pencapaian terdapat kisah unik yang tersendiri, sama ada bintang baharu yang sedang berkembang mahupun pengguna yang memperkukuh komuniti menerusi sokongan berterusan. Penstriman langsung pada hari ini bukan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi medium untuk masyarakat membina hubungan yang bermakna, mengekspresikan diri secara tulen dan berkongsi kreativiti dengan dunia,” kata beliau.
Acara berkenaan turut menyerlahkan bakat pencipta kandungan menerusi persembahan pentas daripada The Funky Divas, black_5572 dan Angelcya. Majlis anugerah itu mengiktiraf pemenang daripada pelbagai kategori termasuk Anugerah Kecemerlangan Pengiktirafan Elit Pertengahan Tahun Khas yang dimenangi oleh akaun KexinAndHerMR dan TheHiddenFigure, selain penyampaian anugerah bagi kategori agensi dan hos utama platform berkenaan.
Selain memfokuskan penganjuran acara hiburan digital, Bigo Live Malaysia turut menjalankan tanggungjawab sosial menerusi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan, Kechara Soup Kitchen, bagi menjayakan inisiatif pengumpulan dana ‘Rise & Raise’.
Menerusi program berkenaan, sebanyak RM10,000 berjaya dikumpul oleh 20 pencipta kandungan bagi menyokong golongan kurang bernasib baik menerusi agihan makanan dan lawatan ke Pusat Gelandangan Medan Tuanku di Kuala Lumpur.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.
































