KUALA LUMPUR, 21 Nov 2022 (Bernama) — Barisan Nasional (BN) tiada kuasa untuk menubuhkan kerajaan kerana rakyat telah menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lepas.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, sebaliknya mencadangkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung menubuhkan kerajaan kerana mereka memperoleh bilangan nombor undi lebih tinggi.
“BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab menyemak dan mengimbang kerajaan baharu,” kata Mohamad dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya malam ini.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata sekiranya bantuan BN diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU15, parti itu sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.
“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu,” katanya.
PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
Keputusan PRU15 menyaksikan BN hanya memperoleh 30 kerusi; PH (82); PN (73); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga), Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.