KUALA LUMPUR, 5 Disember 2025 – Yayasan Amalan Budimas (Budimas) merekodkan pencapaian signifikan apabila berjaya menyediakan lebih 1.1 juta hidangan sarapan pagi berkhasiat secara percuma kepada murid sekolah rendah di seluruh negara sepanjang tahun 2025.

Pencapaian ini diumumkan susulan penganjuran majlis makan malam amal Night of a Thousand Blessings edisi ke-7 yang berlangsung di W Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini. Majlis tersebut berjaya mengumpul dana sebanyak RM687,833 hasil sumbangan lebih 400 tetamu korporat bagi meneruskan agenda kebajikan kanak-kanak kurang bernasib baik dan komuniti Orang Asli.
Menerusi inisiatif Budimas Food Charity Fund (BFCF), bantuan sarapan tersebut telah diagihkan kepada lebih 6,000 murid dari 196 sekolah rendah. Inisiatif ini bertujuan menangani masalah kekurangan nutrisi serta memastikan pelajar dapat memulakan sesi persekolahan dalam keadaan bersedia dan sihat.
Pengerusi The Budimas Charitable Foundation, Y.M. Tunku Dato’ Yaacob Khyra berkata, kesejahteraan kanak-kanak adalah nadi utama kepada operasi yayasan tersebut.
“Bagaimana kanak-kanak dibantu adalah tenaga teras di sebalik bantuan Budimas. Ia adalah pemacu misi dan tunjang utama kepada semangat perjuangan kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi tahun 2026, Budimas menyasarkan untuk meningkatkan jumlah penyediaan sarapan kepada 1.25 juta sajian dengan tumpuan khusus diberikan kepada sekolah-sekolah di kawasan luar bandar.
Selain program makanan, tahun 2025 turut menyaksikan pengenalan dua inisiatif baharu iaitu Projek Impianmu dan Projek Melur. Projek Impianmu menawarkan biasiswa universiti penuh kepada belia Orang Asli yang cemerlang dalam SPM, manakala Projek Melur memfokuskan kepada pendidikan kesihatan dan keselamatan diri untuk remaja perempuan di rumah kebajikan.
Yayasan ini turut meneruskan program teras sedia ada seperti Budimas Home Charity Fund yang menyokong 40 rumah kebajikan, pembinaan perpustakaan di kampung Orang Asli, serta penajaan kos rawatan perubatan kanak-kanak kritikal dengan kerjasama hospital seperti Gleneagles Kuala Lumpur.
Antara rakan korporat yang menjayakan usaha ini termasuk Farm Fresh Berhad, MAA Group, United U-Li Corporation Berhad, dan Universiti Geomatika Malaysia.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































