Tumbuh di kawasan tropika khususnya di negara Asia Tenggara, durian adalah antara buah kegemaran penduduk di negara tersebut terutamanya rakyat Malaysia!
Berkulit keras, berduri dan juga bersaiz besar berbanding buah tempatan lain, merupakan faktor durian dipanggil sebagai raja buah.
Bukan setakat itu sahaja, durian mempunyai pelbagai khasiat yang antaranya seperti vitamin-C, asid folik, thiamin, riboflavin, B6 serta mineral penting seperti kalium, besi, kalsium, magnesium, fosforus dan lain-lain.
Berdasarkan kajian dari Universiti Teknologi Malaysia, khasiat itu tadi memberi manfaat kesihatan seperti meningkatkan sistem imun, mencegah kanser, memperbaiki tanda-tanda anemia, menurunkan tekanan darah, dan banyak lagi.
Dengan kelebihan yang banyak begini, tidak rugilah usaha negara kita menghasilkan ratusan jenis durian.
Menurut Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), di Malaysia sahaja telah mempunyai 226 jenis durian yang berdaftar dan antara yang popular ialah Musang King, Duri Hitam dan Tekka.
Berikutan itu, pihak MARDI bersama-sama Tourism Malaysia dan agensi-agensi pelancongan melancarkan promosi Pakej Durian Tourism 2023 bagi mempromosikan durian di Malaysia.
Turut menggabungkan elemen ekopelancongan, agropelancongan, arkeopelancongan, gastronomi dan pengembaraan lasak, pakej ini memberi pengunjung peluang untuk bercuti sambil menikmati buffet durian.
Jadi, alang-alang sudah tahu apa yang menarik dengan durian, boleh cuba Pakej Durian Tourism 2023 ini sambil-sambil melancong.
Pakej Durian Tourism 2023: https://www.malaysia.travel/storage/files/pdf/pakej-durian-2023.pdf