KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 — Sebuah buku bergambar kanak-kanak bertajuk Anwar Ibrahim: PMX Perjuangan Perdana yang memaparkan kisah hidup Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah diterbitkan bagi memperkenalkan tokoh negara itu kepada pembaca muda.
Diterbitkan oleh PEN International Sdn Bhd, buku tersebut ditulis dalam Bahasa Melayu mudah dan dilengkapi ilustrasi berwarna-warni bagi menarik minat kanak-kanak mengenali perjalanan hidup Anwar sejak kecil sehingga bergelar Perdana Menteri.
Pengurus Penerbitan PEN International, Puru Raman, berkata buku itu merupakan yang pertama dalam siri yang dirancang untuk memperkenalkan tokoh-tokoh negara kepada golongan kanak-kanak di peringkat sekolah rendah.
“Buku ini mengambil masa setahun untuk disiapkan, merangkumi enam bulan untuk penyelidikan dan penulisan serta enam bulan lagi untuk proses ilustrasi. Kami berharap buku ini dapat menyemai nilai-nilai seperti ketekunan, keazaman dan kerja keras dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Buku tersebut ditulis oleh Leela Chakrabarty dan diilustrasikan oleh Emiree Fazrin, bermula dari zaman kanak-kanak Anwar di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, sehinggalah penglibatannya dalam dunia kepimpinan semasa menuntut di Universiti Malaya, dan seterusnya perjalanan politik beliau.
Penerbit turut merancang untuk menerbitkan buku tersebut dalam versi Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil pada masa akan datang bergantung kepada permintaan.
Anwar Ibrahim: PMX Perjuangan Perdana kini boleh didapati di kedai buku utama termasuk Popular, Kinokuniya, MPH dan kedai-kedai buku bebas pada harga RM24.90.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.












































