KUALA LUMPUR, 8 Julai 2026 – Bursa Malaysia dan The Edge menjalinkan kerjasama strategik bagi menganjurkan acara larian korporat utama, Bursa Bull Charge × The Edge KL Rat Race 2026, yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2026.
Acara bertemakan matlamat sosial ini menyatukan kedua-dua organisasi di atas satu platform perkongsian bagi pasaran modal Malaysia dengan meletakkan agenda inklusiviti Orang Kurang Upaya (OKU), pendidikan, serta literasi kewangan sebagai teras utama.
Diberi nafas baharu di bawah moto “Run as One. Run for All”, larian ini direka dengan menitikberatkan aspek kemudahan akses dan penyertaan yang melibatkan lebih banyak golongan bermula daripada peringkat perancangan sehinggalah ke hari perlumbaan.
Langkah ini merangkumi penyediaan laluan serta kemudahan yang mesra OKU, selain pembukaan peluang penglibatan golongan tersebut sebagai pelari, sukarelawan, dan duta acara.
Program ini turut menampilkan kategori larian pecut satu batu yang menggabungkan eksekutif pengurusan tertinggi (C-Suite) bersama pelari OKU bagi menzahirkan semangat perpaduan dan penglibatan secara menyeluruh.
Acara berskala besar ini akan diadakan dalam bentuk larian malam yang membabitkan laluan sepanjang 5 kilometer merentasi jalan-jalan utama di Kuala Lumpur. Titik pelepasan dan penamat larian adalah bertempat di perkarangan bangunan Bursa Malaysia, dengan laluan merangkumi Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail, dan Jalan Ampang.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, Bursa Bull Charge sebelum ini telah berjaya menghimpunkan lebih 12,000 pelari dan mengumpul dana sekitar RM18 juta untuk disumbangkan kepada lebih 170 pertubuhan kebajikan, sekali gus menunjukkan impak kolektif pasaran modal yang melampaui garisan penamat.
“Sambil Bursa Malaysia meraikan ulang tahun ke-50, kami berhasrat untuk melangkah lebih jauh tahun ini dengan menggalakkan penyertaan paling meluas dalam kalangan Korporat Malaysia menerusi kolaborasi bersama The Edge. Kami percaya bahawa Bursa Bull Charge × The Edge KL Rat Race 2026 akan menjadi satu ekspresi padu tentang apa yang boleh dicapai apabila masyarakat bersatu di sebalik matlamat bersama, membantu membina masa depan yang mana setiap rakyat Malaysia mempunyai peluang untuk mengambil bahagian, menyumbang, dan berjaya,” kata beliau.
Penganjuran larian ini merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih luas Bursa Malaysia untuk memajukan peluang pekerjaan yang inklusif bagi golongan OKU sebagai keutamaan teras kepelbagaian, kesaksamaan, dan inklusiviti (DEI).
Usaha tersebut merangkumi pembangunan Buku Panduan Pekerjaan Inklusif Malaysia (MINE) dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi melengkapi organisasi dengan alatan praktikal serta rangka kerja untuk merancang tempat kerja, sistem bakat, dan amalan tadbir urus yang mempromosikan penglibatan pekerja secara lebih meluas.
Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Edge Media Group, Dato’ Ho Kay Tat berkata, sejak acara Rat Race pertama diperkenalkan pada tahun 2000, jutaan ringgit telah dikumpul untuk tujuan amal serta memberi manfaat kepada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berurusan dengan OKU.
Beliau menjelaskan bahawa bagi tempoh lebih 10 tahun kebelakangan ini, menerusi Yayasan Pendidikan The Edge, pihak organisasi telah memberi tumpuan kepada akses kepada peluang yang lebih baik untuk golongan kurang bernasib baik dan OKU melalui pendidikan serta latihan.
Sehingga kini, Yayasan Pendidikan The Edge telah memberikan fokus kepada keperluan kritikal pendidikan kewangan bagi golongan muda untuk memupuk amalan menabung, pengurusan wang secara bijak, penyediaan bajet, serta kaedah mengelakkan perangkap hutang dan penipuan (scam).
Rangkaian yayasan kini bekerjasama dengan rakan kongsi dalam sektor korporat dan filantropi serta guru-guru untuk mengendalikan program literasi kewangan dinamakan “Money & Me: Youth Financial Empowerment Programme” di sekolah-sekolah seluruh negara.
“Meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan individu akan menyumbang ke arah inklusiviti kewangan,” kata Ho lagi.
Penganjuran Bull Charge × Rat Race 2026 adalah selaras dengan aspirasi negara untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan mampan, yang mana agenda penglibatan OKU telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada 10 kawasan keutamaan nasional oleh Majlis SDG Negara.
Program ini juga mencerminkan penekanan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 terhadap pasaran modal yang menawarkan penglibatan lebih terbuka untuk seluruh rakyat Malaysia serta mobilisasi modal dan kerjasama bagi menyokong matlamat kelestarian nasional.
Pihak syarikat korporat dipelawa untuk menyertai program ini dengan mendaftarkan pasukan pelari masing-masing, selain pelbagai pakej penajaan turut disediakan untuk dilanggan.
Kesemua hasil kutipan daripada acara ini akan disalurkan bagi menyokong penerima manfaat yang mengendalikan program berimpak tinggi untuk komuniti OKU serta memperluas akses kepada pendidikan dan literasi kewangan.
Pendaftaran kini telah dibuka melalui laman web rasmi www.bullchargeratrace.com dan akan ditutup pada 5 November 2026.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































