SINGAPURA, 12 Mac 2026 — Platform pelancongan digital, Agoda merekodkan lonjakan sebanyak 55 peratus dalam carian penginapan sempena cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri dari pengembara di Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi tempoh daftar masuk antara 20 hingga 23 Mac ini.
Bali kekal sebagai destinasi paling banyak dicari oleh pelancong dari ketiga-tiga negara berkenaan, diikuti rapat oleh Yogyakarta, Bandung, Kuala Lumpur dan Tokyo.
Walaupun destinasi serantau masih menjadi pilihan utama, Agoda turut mengesan peningkatan minat yang begitu ketara terhadap lokasi percutian antarabangsa pada musim perayaan ini, terutamanya Jepun dan China.
Naib Presiden Kanan Bekalan Agoda, Andrew Smith berkata trend perjalanan semasa musim perayaan kebudayaan secara tradisinya tertumpu kepada aktiviti pulang ke kampung halaman, namun kini terdapat perubahan keutamaan apabila ramai mula mencari destinasi baharu.
“Jepun dan China, misalnya, semakin mendapat perhatian pada musim perayaan ini kerana ia lebih mudah diakses melalui langkah seperti kelonggaran peraturan visa dan tawaran pelbagai pengalaman yang unik. Apabila perjalanan menjadi lebih mudah, minat pelancong akan menyusul,” katanya lagi.
Beliau menambah, China kini berada di kedudukan lima teratas bagi pelancong dari Malaysia, Indonesia dan Singapura, dengan peningkatan tujuh peratus carian penginapan tahun ke tahun semasa tempoh Hari Raya. Momentum ini dipacu oleh peluasan pengecualian visa dan kelonggaran peraturan transit oleh negara tersebut.
Sementara itu, daya tarikan Jepun semakin meluas sejajar dengan sasaran kerajaan negara berkenaan untuk menarik 60 juta pelancong asing menjelang tahun 2030.
Menjelang musim percutian ini, pengusaha hotel disaran untuk memperhalusi strategi perkhidmatan mereka bagi memenuhi pelbagai keperluan pelancong beragama Islam, termasuk menyediakan pilihan yang mesra Muslim.
Berdasarkan laporan data Agoda, hotel yang mengetengahkan penyediaan makanan halal, kemudahan ruang solat dan fasiliti mesra Muslim mencatatkan impak positif sebanyak 59 peratus terhadap hasil bagi setiap bilik yang tersedia (RevPAR).
Seiring dengan kerancakan perancangan percutian Hari Raya, peningkatan permintaan bermusim ini merupakan masa yang tepat bagi rakan kongsi penginapan untuk mengemas kini penawaran mereka dengan maklumat penting yang sering dicari oleh pelancong sebelum membuat tempahan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































