KUALA LUMPUR, 25 Jul 2025 — CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) hari ini melancarkan rangkaian penyelesaian keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu perusahaan besar dalam semua industri membina ketahanan lebih kukuh terhadap ancaman digital yang semakin berkembang.
Penyelesaian ini merangkumi tiga teras utama iaitu Managed Security Services (Perkhidmatan Keselamatan Terkawal), Strategy and Assessment (Strategi dan Penilaian), serta Infrastructure Security (Keselamatan Infrastruktur).
Semua perkhidmatan ini diperakui oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), sejajar dengan kerangka kerja Institut Piawaian dan Teknologi Kebangsaan (National Institute of Standards and Technology atau NIST), dan disokong oleh lebih 150 pakar keselamatan serta rakan kongsi global.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, Ts. Afizulazha Abdullah berkata seni bina keselamatan siber hujung ke hujung yang kukuh amat kritikal pada masa kini.
“Dengan peningkatan 29 peratus dalam insiden pencerobohan data di Malaysia pada suku pertama 2025, strategi keselamatan yang mampu meramal dan menyesuaikan diri menjadi keutamaan dalam melindungi operasi, mengekalkan kepercayaan pelanggan dan memastikan kelangsungan perniagaan,” kata beliau lagi.
Penyelesaian tersebut diperkenalkan semasa sesi simulasi ancaman siber eksklusif yang dihadiri pemimpin industri peringkat tertinggi, di mana peserta menyaksikan simulasi serangan siber secara langsung dan tindak balas masa nyata, sekaligus memperlihatkan kepentingan kesiapsiagaan organisasi dalam mendepani risiko digital.
Dalam persekitaran digital yang kian mencabar, perkhidmatan Managed Security CelcomDigi membolehkan perniagaan mengesan, bertindak balas dan mempertahankan diri daripada serangan kompleks tanpa menjejaskan operasi harian.
Antara ciri utama ialah Kesedaran dan Kesiapsiagaan Keselamatan, Pengesanan dan Respons Terkawal, Pengurusan Kerentanan, Ujian Penembusan, Perisikan Ancaman dan Keselamatan Ofensif.
Di samping itu, perkhidmatan Strategy and Assessment memberi khidmat rundingan dan penilaian keselamatan semasa bagi membantu organisasi mengenal pasti kelemahan dan melaksanakan strategi keselamatan yang tepat dan berkesan.
Melengkapkan penawaran ini, penyelesaian Infrastructure Security membekalkan perniagaan dengan teknologi terkini bagi melindungi persekitaran digital mereka.
Ini termasuk keselamatan pusat data dan awan, perkakasan keselamatan siber, pengurusan ancaman, kawalan identiti dan akses, perlindungan daripada Distributed Denial of Service (DDoS), keselamatan web dan internet, serta keselamatan endpoint, mudah alih dan e-mel.
Sesi simulasi ini turut diadakan dengan kerjasama Axiata Cyber Fusion Centre dan Bridgenet Solutions, sebagai persediaan kepada para pemimpin perniagaan untuk menghadapi realiti dan kesan serangan siber terhadap reputasi dan kelangsungan operasi mereka.
Satu sesi meja bulat juga diadakan bagi membincangkan cabaran keselamatan siber semasa yang dihadapi industri, termasuk jurang kesiapsiagaan dan keperluan strategi respons yang bersepadu.
Penyelesaian baharu CelcomDigi ini melengkapkan penawaran menyeluruh syarikat untuk perniagaan pelbagai saiz, mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam mempercepat digitalisasi perusahaan dan memastikan keselamatan serta daya saing dalam landskap ancaman digital yang terus berubah.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































