KUALA LUMPUR, 24 November 2025 — citizenM Kuala Lumpur Bukit Bintang kini secara rasmi menyertai portfolio Marriott Bonvoy, menjadikannya hotel citizenM pertama di rantau Asia Pasifik (tidak termasuk China) berada di bawah program kesetiaan global tersebut.
Langkah ini susulan pengambilalihan jenama citizenM oleh Marriott International awal tahun ini, sekali gus memperkukuh kehadiran kumpulan itu dalam segmen perjalanan moden.
Terletak di kawasan Bukit Bintang, hotel ini berada dalam jarak berjalan kaki dari tarikan utama seperti Jalan Alor, Pavilion Kuala Lumpur, Berjaya Times Square dan LaLaport BBCC. Ia menawarkan 210 bilik pintar (smart rooms) dilengkapi katil XL bersaiz king, bilik mandi pancuran hujan serta tablet MoodPad yang mengawal pencahayaan, suhu dan hiburan.
Kemudahan lain termasuk canteenM, bar dan dapur 24 jam yang menyediakan hidangan segar; lobi bergaya living room dengan perabot Vitra, karya seni terpilih dan ruang bekerjasama; serta tiga bilik mesyuarat SocietyM, termasuk sebuah ruang gaya teater yang mampu menempatkan sehingga 40 tetamu.
Reka bentuk dalaman hotel diinspirasikan keindahan alam Malaysia, dengan permaidani flora, kehijauan bergantung dan siling seni yang dicat.
Melalui penyertaan ini, ahli Marriott Bonvoy kini boleh memperoleh dan menebus mata, membuat tempahan melalui aplikasi Marriott dan menikmati manfaat status elit ketika menginap di hotel tersebut. Marriott International turut memaklumkan lebih banyak hotel citizenM di seluruh dunia dijangka menyertai platform Marriott Bonvoy menjelang akhir 2025.
Naib Presiden Serantau Malaysia & Indonesia, Marriott International, Ramesh Jacksonberkata, “citizenM ialah jenama yang dibina untuk pengembara moden, iaitu mereka yang menghargai reka bentuk hebat, teknologi intuitif dan rasa keterhubungan dengan destinasi.” Pengurus Hotel citizenM Kuala Lumpur Bukit Bintang, Duncan Hong, pula berkata, “Kami mengekalkan segala yang digemari tetamu tentang citizenM, semangat funky, reka bentuk chic dan crusty croissants, sambil menambah kelebihan daripada Marriott Bonvoy. Ia situasi menang-menang bagi para pengembara.”
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































