LOS ANGELES, 20 Nov 2025 — Clair Obscur: Expedition 33 , permainan RPG berasaskan giliran oleh studio Perancis Sandfall Interactive, mencipta sejarah apabila meraih 12 pencalonan di The Game Awards 2025 ; jumlah tertinggi pernah dicapai oleh mana-mana permainan dalam sejarah anugerah tersebut.
Senarai pencalonan tersebut telah diumumkan pada Isnin lepas oleh hos dan penerbit acara, Geoff Keighley, menjadikan judul itu calon utama untuk kategori terbaik, Game of the Year.
Pencapaian ini mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang The Last of Us Part II (11 pencalonan pada 2020) dan Final Fantasy VII Rebirth (2024). Persaingan untuk Game of the Year turut menyaksikan judul besar seperti Death Stranding 2: On The Beach oleh Hideo Kojima dan Hollow Knight: Silksong.
Permainan itu menerima pencalonan dalam hampir semua kategori utama termasuk Best Game Direction, Best Narrative dan Best Art Direction. Ia turut mendominasi kategori Best Performance dengan tiga pencalonan menerusi Ben Starr, Charlie Cox dan Jennifer English.
Dalam satu kenyataan, Sandfall Interactive menyifatkan pencalonan tersebut sebagai satu penghormatan besar bagi projek pertama mereka.
Dilancarkan pada bulan April tahun ini, Clair Obscur: Expedition 33 mendapat pujian meluas dengan skor Metacritic 92 serta penarafan “Must-Play”.
Pengkritik permainan menyanjung identiti visualnya yang diinspirasikan era Belle Époque Perancis dan sistem pertempuran “reactive turn-based” yang inovatif, manakala pemain-pemain pula memberikan skor pengguna 9.6.
Kisahnya berkisar tentang kumpulan pengembara yang berusaha menghentikan Paintress, entiti yang memadamkan kewujudan manusia setiap tahun.
Momentum permainan itu semakin kukuh selepas memenangi enam anugerah di Golden Joystick Awards, termasuk Ultimate Game of the Year, Best Storytelling dan Best Visual Design. Namun penganalisis industri menjangkakan saingan sengit daripada Death Stranding 2, yang turut menerima tujuh pencalonan.
Pemenang The Game Awards 2025 akan diumumkan secara langsung dari Peacock Theater di Los Angeles pada 11 Disember.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































