KUALA LUMPUR, 9 Sept 2026 — Perlis terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi menerusi pembukaan ClubRock Perlis, hab pendakian batu dan ekopengembaraan pertama seumpamanya di negeri itu.
Terletak di Gua Kelam, ClubRock Perlis dibangunkan di kawasan seluas lebih 23,000 kaki persegi dan menawarkan 36 bilik serta 15 tapak perkhemahan premium di tepi sungai, dengan kapasiti antara dua hingga empat orang bagi setiap bilik atau tapak.
Projek itu dibangunkan oleh MyUS Venture Partners Sdn. Bhd. dan dikendalikan oleh MyEco Discovery Sdn. Bhd., anggota MyUS Group.
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyUS Group, Dato’ Nellsen Young, berkata pembukaan ClubRock Perlis bertujuan untuk mengetengahkan potensi alam semula jadi negeri itu sebagai destinasi pendakian batu dan pengembaraan bertaraf antarabangsa.
“Kami amat teruja memperkenalkan ClubRock Perlis sebagai hab pendakian batu dan ekopengembaraan pertama seumpamanya di Perlis.
“Keindahan semula jadi Perlis amat luar biasa dan menjadi khazanah kepada peminat aktiviti luar. ClubRock Perlis bertujuan meletakkan negeri ini dalam peta pendakian batu dunia, selain menjadi ruang untuk pendidikan, pembangunan, pertumbuhan komuniti dan penerokaan,” katanya dalam kenyataan.
Perlis sebelum ini diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ke-10 Malaysia, dikenali sebagai Perlis Geopark, dengan 23 tapak geologi dikenal pasti, kebanyakannya mempunyai nilai saintifik yang signifikan.
Selain pendakian batu, ClubRock Perlis turut menawarkan aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga, termasuk pendakian mudah untuk kanak-kanak seawal tujuh tahun, penerokaan Gua Kelam, aktiviti berjalan kaki di alam semula jadi serta pemerhatian hidupan liar.
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti tempatan menerusi peluang pekerjaan kepada pemandu aktiviti pengembaraan dan pendaki batu tempatan sebagai kakitangan sepenuh masa.
ClubRock Perlis juga akan berfungsi sebagai pusat latihan dan kursus peningkatan kemahiran, selain menyediakan peluang kepada pelajar tempatan.
Dari aspek kelestarian, pengendali berhasrat mengintegrasikan teknologi mesra alam dalam operasi bagi menjimatkan sumber, mengitar semula air dan mengurangkan sisa.
Lawatan harian yang dikendalikan pemandu berpengetahuan turut ditawarkan bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai keunikan semula jadi Gua Kelam serta meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar.
ClubRock Perlis juga mengalu-alukan kerjasama dengan universiti dan penyelidik untuk menjalankan kajian berkaitan flora dan fauna unik di Perlis, sekali gus menggalakkan perkongsian ilmu dan pengetahuan.
Maklumat lanjut mengenai ClubRock Perlis boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasminya.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































