PUTRAJAYA, 4 Oktober 2026 – Penganjuran Colours of Parade menjadi kemuncak Citrawarna Speed Festival 2026 malam ini apabila menghimpunkan seramai 1,500 penari dan penghibur dari seluruh negara di IOI City Mall, di sini.
Acara anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung selama 12 hari bermula 23 September lalu itu bertujuan menyerlahkan kekayaan warisan dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia sempena Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027).
Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Perarakan kebudayaan berkenaan menampilkan persembahan khas mewakili tradisi masyarakat dari wilayah Utara, Tengah, Selatan, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, di samping keunikan budaya komuniti Orang Asli, Cina, India, Sikh serta Siam.
Penganjuran festival ini turut menyokong momentum positif sektor pelancongan negara yang merekodkan 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Sebagai tirai penutup festival pada 4 Oktober, kira-kira 100 kenderaan Lamborghini berkuasa tinggi dihimpunkan menerusi pengaktifan khas di IOI City Mall bagi melengkapkan gabungan unik antara seni budaya warisan dan sukan bermotor.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































