KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 — Platform pembelajaran dalam talian global, Coursera, kini menjadi antara aplikasi generasi pertama yang disepadukan terus ke dalam ChatGPT, sekali gus menjadikan pembelajaran digital lebih mudah diakses oleh pengguna di Malaysia.
Langkah ini berikutan Coursera diumumkan sebagai rakan rasmi OpenAI pada acara DevDay, menjadikannya platform pendidikan pertama yang ditawarkan secara langsung dalam ChatGPT. Melalui integrasi ini, pengguna boleh menonton video dan mendapatkan maklumat kursus Coursera tanpa meninggalkan ruang perbualan ChatGPT.
Ketua Pegawai Eksekutif Coursera, Greg Hart, berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperluas akses pendidikan dan membantu masyarakat memperoleh kemahiran baharu.
“Dengan menempatkan kandungan pembelajaran yang sahih di hujung jari pengguna, kami membantu mereka mempersiapkan diri untuk peluang ekonomi dan pekerjaan masa depan,” katanya.
Data Coursera menunjukkan minat rakyat Malaysia terhadap kursus Kecerdasan Buatan Generatif (GenAI) meningkat sebanyak 183% tahun ke tahun, dengan kursus popular termasuk Google AI Essentials dan Generative AI for Everyone oleh DeepLearning.AI.
Naib Presiden Pendidikan OpenAI, Leah Belsky, menambah bahawa gabungan kepakaran manusia dan AI mampu menjadikan pengalaman pembelajaran lebih peribadi dan interaktif.

“Dengan kandungan daripada tenaga pengajar terkemuka di Coursera, pengguna kini boleh membina kemahiran baharu dan mengembangkan kerjaya mereka terus dalam ChatGPT,” katanya.
Tren pembelajaran AI di Malaysia turut menunjukkan golongan milenial (58%) mendahului usaha peningkatan kemahiran, diikuti oleh Gen X (25%), Gen Z (14%) dan Boomers (3%). Perkembangan ini seiring dengan inisiatif kerajaan di bawah Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2021–2025 dan Pelan Hala Tuju Bakat AI 2024–2030 untuk memperkukuh ekosistem AI negara.
Aplikasi Coursera kini boleh diakses oleh semua pengguna ChatGPT berdaftar di Malaysia melalui pelan percuma, Go, Plus, dan Pro. Antaramuka pertama ditawarkan dalam bahasa Inggeris dengan sari kata dan alih suara dalam beberapa bahasa terpilih.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































