GENTING HIGHLANDS, 16 Februari 2026 – Crockfords di Resorts World Genting (RWG) terus mengukuhkan reputasinya sebagai penanda aras hospitaliti mewah negara apabila mempertahankan penarafan 5 bintang Forbes Travel Guide (FTG) bagi tahun kelapan berturut-turut.
Pengiktirafan bagi edisi 2026 ini meletakkan Crockfords dalam kelas tersendiri sebagai satu-satunya hotel di Malaysia yang menerima anugerah berprestij tersebut tahun ini.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee, berkata pencapaian sejak 2019 itu mencerminkan disiplin dan konsistensi pasukan hotel dalam menyantuni pengunjung.
“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini sekali lagi. Di Resorts World Genting, kami terus fokus memperkukuh tawaran hospitaliti kami serta mencipta pengalaman yang relevan bagi pelancong yang mencari keselesaan, kualiti dan keunikan,” katanya.
Selain Crockfords, dua lagi hartanah RWG turut menerima pengiktirafan konsisten. Genting Grand kekal sebagai Hotel Mewah 4-Bintang FTG, manakala Hotel Highlands tersenarai sebagai Hotel Disyorkan Forbes, masing-masing bagi tempoh sembilan tahun berturut-turut.
Dalam perkembangan berkaitan, Crockfords turut memperkenalkan kategori suite baharu bagi memenuhi gaya hidup moden.
Ini termasuk Prestige Suite – Gym seluas 1,080 kaki persegi yang dilengkapi peralatan kardio peribadi, Premier Suite, dan Studio Suite.
Hotel ini juga memperkaya pengalaman kulinari menerusi pembukaan Eden by Crockfords, sebuah restoran baharu di Aras G yang menawarkan hidangan klasik antarabangsa dan tempatan seperti Mexican Wagyu Burger dan Kari Laksa Nyonya.
Naib Presiden Operasi Hotel, Robert Marek, menambah bahawa pengenalan konsep suite dan restoran baharu ini adalah bukti komitmen hotel untuk terus berkembang seiring dengan jangkaan tetamu bertaraf global.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































