CAMERON HIGHLANDS, 21 Julai 2025 – Acara larian denai paling dinanti-nantikan di Malaysia, Cameron Ultra Trail (CULTRA) kembali dengan edisi kesembilan yang berlangsung meriah dari 18 hingga 20 Julai lalu di Cameron Highlands.
Dikenali sebagai CULTRA 2025 Presented by Asics, acara anjuran Bolt Events Management dan Kelab Larian SUKADEI tahun ini menyaksikan kehadiran 2,500 pelari dari 39 negara – jumlah penyertaan yang dicapai hanya dalam lima hari selepas pendaftaran dibuka. Penganjur menyifatkan peratusan penyertaan seimbang antara pelari tempatan dan antarabangsa sebagai bukti reputasi CULTRA di peringkat global.

Lima kategori perlumbaan ditawarkan, iaitu 100KM, 60KM, 30KM, 14KM dan 4KM. Acara utama 100KM (MOSSY100) menyaksikan pelari muda dari Iceland, Kristjan Chapman, mencipta rekod baharu dengan catatan masa 13 jam 14 minit 54 saat. Dalam kategori 60KM, pelari Sabah, Oswald Maikol, muncul juara selepas menewaskan peserta dari Jepun dan Perancis.
Pengarah Pemasaran dan Komunikasi BOLT, Azlihana Abdul Rahim, berkata CULTRA bukan sekadar acara sukan, malah memberi impak besar kepada ekonomi setempat.
“Kami menjangkakan impak ekonomi melebihi RM12 juta, hasil kehadiran pelari dan pelancong domestik serta antarabangsa,” katanya.
Acara ini turut menampilkan pasar komuniti (Cultra Market), pesta teh (Cultra Tea Party), dan kerjasama erat dengan komuniti tempatan serta agensi pelancongan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), MyCEB, Tourism Pahang, dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Seramai 70 malim gunung (pemandu arah tempatan) ditempatkan bagi memastikan keselamatan peserta sepanjang laluan denai yang mencabar, terutama di kawasan berketinggian melebihi 1,000 meter.
Lebih membanggakan, CULTRA kini menjadi acara kelayakan rasmi ke kejohanan dunia seperti Ultra-Trail du Mont-Blanc (UTMB) dan Western States Endurance Run.
Sebagai usaha memantapkan ekosistem larian denai serantau, BOLT turut melancarkan SEA Trail Series, hasil kerjasama dengan Mountain Marathon Festival (Indonesia) dan TAK Trail Series (Thailand).
Dengan tema “Republic of Trail”, edisi kali ini meraikan keterangkuman dan semangat komuniti tanpa mengira latar belakang. Antara wajah inspirasi tahun ini termasuk Mukminah Paiman, pelari berhijab dan berniqab yang berjaya menamatkan laluan 100KM buat kali ketiga.
CULTRA 2025 sekali lagi membuktikan bahawa sukan lasak mampu menjadi pemacu pelancongan, menjana ekonomi dan merapatkan jurang budaya – bukan sekadar perlumbaan, tetapi sebuah pergerakan merentas sempadan.
Editor dalam talian dan penulis di majalah Gaya Travel dan Akses Malaysia. Kebahagiaan sebenar adalah apabila berada di jalanan mengembara, mengenali dan melihat dunia.















































