KUALA LUMPUR, 11 April 2023 (Bernama) — Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang diluluskan Dewan Negara hari ini tidak akan memberi kesan kepada peningkatan kes-kes jenayah berat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata kadar jenayah tidak hanya bergantung kepada hukuman berat semata-mata, malah tiada kajian menunjukkan hukuman mati sebagai langkah pencegahan jenayah yang terbaik.
“Malah sebelum ini satu jawatankuasa yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara sudah pun membuat kajian mengenai perkara ini dan mendapati kesan pencegahan tidak seperti yang dikatakan. Terdapat banyak faktor yang boleh mempengaruhi kadar berlakunya jenayah seperti aspek ekonomi, sosial dan psikologi.
Kadar jenayah juga adalah bergantung pada keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, kefahaman orang ramai mengenai kesan jenayah dan juga peluang untuk melakukan sesuatu jenayah itu,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Negara di sini hari ini.
Rang Undang-undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 diluluskan tanpa pindaan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 17 Senator.
Ramkarpal berkata Rang Undang-undang itu adalah suatu akta omnibus kerana merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah.
Dewan Negara hari ini turut meluluskan Rang Undang-undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 denga lebih suara bersetuju selepas ia dibahaskan 12 Senator.
Rang undang-undang itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi bidang kuasa penyemakan sementara Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat yang dijatuhkan terhadap orang yang disabitkan berikutan pemansuhan hukuman mati mandatori.
— BERNAMA