KUALA LUMPUR, 11 Ogos 2026 – Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bakal menganjurkan pementasan tarian ‘A Dance Spectacular’ pada 5 September ini, jam 8.00 malam bagi memelihara warisan seni dan budaya tempatan menerusi gabungan tarian tradisional serta kontemporari.
Persembahan berkenaan menampilkan gabungan dua kumpulan tarian tempatan terkemuka iaitu ASK Dance Company dan Dua Space Dance Theatre dalam memaparkan sejarah serta tradisi kepelbagaian seni budaya di Malaysia.

Separuh masa pertama pementasan tersebut bakal menyaksikan persembahan bertajuk ‘Pearl of the Orient’ oleh 17 penari ASK Dance Company yang menelusuri perjalanan sejarah dan adaptasi tradisi tarian Cina dari tanah besar ke Malaysia. Persembahan itu memperagakan pelbagai tarian simbolik seperti Tarian Melombong Bijih Timah, Tarian Mahjong, Tarian Singa dan Tarian Kayu Sepit.
Kumpulan Dua Space Dance Theatre yang dianggotai 10 penari pula akan mengambil alih pentas pada separuh masa kedua menerusi persembahan tarian kontemporari bertajuk ‘Passage Into The Unknown: Earth, Water, Fire, Wind’ yang mengadunkan estetika tarian tradisional Cina dengan pergerakan moden berasaskan empat elemen alam.
Penganjuran pementasan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat DFP dalam menyediakan platform bagi menyemaikan rasa penghargaan masyarakat terhadap seni warisan negara. Tiket persembahan dijual pada harga RM69 hingga RM249 dan boleh ditempah menerusi kaunter box office atau laman web rasmi DFP, dengan tawaran pakej keluarga yang menyediakan diskaun 20 peratus bagi pembelian enam tiket kategori terpilih.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































