SINGAPURA, 16 Mac 2026 — Syarikat infrastruktur digital, Digital Edge berjaya memperoleh pinjaman hijau bernilai AS$665 juta bagi membiayai pembangunan fasa pertama pusat data hiperskala yang tersedia dengan kecerdasan buatan (AI) miliknya di Bekasi, Indonesia.
Pembiayaan tersebut merupakan pinjaman hijau terbesar yang pernah dicatatkan untuk projek pusat data di negara berkenaan. Ia bakal menyokong pembangunan kemudahan Kampus CGK berkapasiti 500 megawatt (MW) di Kawasan Perindustrian GIIC, yang merupakan sebahagian daripada keseluruhan pelaburan berbilang fasa bernilai AS$4.5 bilion.
Projek infrastruktur digital itu direka khusus untuk menyokong beban kerja intensif data dan AI secara mampan. Kampus tersebut menyasarkan purata tahunan keberkesanan penggunaan kuasa (PUE) pada kadar 1.25, selain menyepadukan sistem air kitar semula dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan intensiti karbon serta melayakkannya mendapat pensijilan LEED.
Transaksi pembiayaan ini diketuai oleh lapan institusi kewangan sebagai pengatur pendahulu mandat, iaitu BNP Paribas, Clifford Capital, Crédit Agricole CIB, DBS, Mizuho, OCBC, PT Bank Central Asia Tbk dan SMBC. Langkah ini secara langsung menyokong sasaran Digital Edge untuk mencapai status neutral karbon menjelang tahun 2030.
Ketua Pegawai Kewangan Digital Edge, Jonathan Walbridge berkata, pembiayaan itu mengukuhkan kedudukan syarikat dalam menyediakan infrastruktur digital yang mampan di samping mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
“Pencapaian ini berjaya direalisasikan dengan sokongan padu daripada rakan pinjaman sedia ada dan baharu yang berkongsi komitmen kami terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.






















![[Dari Kiri] Peter Chan, Pengurus Besar Gurney Plaza, Queensbay Mall & East Coast Mall, Abdul Hadi Che Man, Pengarah Pelancongan Malaysia Wilayah Utara dan Selina Ng, Pengarah Urusan, Runcit Malaysia, CapitaLand Investment bersama penari Kuda Kepang semasa pelancaran kempen “Shop SMART Win Smart” di Gurney Plaza.](https://www.aksesmalaysia.my/mywp22/wp-content/uploads/2025/04/Image-3-350x250.png)























